HUKUM MENGGUGURKAN KANDUNGAN dan MEMBEKALKAN BAHAN KONSTRASEPTIF KEPADA PENZINA REMAJA DARI PERSPEKTIF ISLAM

6 04 2010

Oleh Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani

1.0          Pendahuluan

Isu yang akan dibincang ini adalah isu Negara. Kertas ini selayaknya disediakan oleh institusi-institusi Islam yang berautoriti, dengan itu ia akan mempunyai kekuatan tersendiri. Apa pun kertas ini disediakan sebagai bahan perbincangan awal. Diharapkan akan disusuli perbincangan-perbincangan yang lebih berautoriti.

2.0          Beberapa Hakikat

Berikut beberapa hakikat yang perlu diambil kira dalam membincangkan isu ini

1. Zina Jenayah

Dalam Syariat Islam semua maksiat ada jenayah, hudud, qisas atau ta`zir. Sesuatu perbuatan dianggap jenayah kerana ia mendatangkan kerosakan  kepada individu atau masyarakat.

Zina jenayah. Ia dikategorikan sebagai jenayah hudud. Jenayah hudud adalah jenayah yang mengakibatkan kemudaratan besar kepada masyarakat. Jika sabit kesalahan hukuman ke atas penjenayah zina ialah rejam sampai mati jika pelakunya telah berkahwin dan disebat 100 sebatan jika dia belum berkahwin. Allah yang Maha Mengetahui yang baik dan buruk untuk hambanya Maha Mengetahui hanya inilah hukuman yang dapat membanteras jenayah zina. Tiada jalan lain. Ini satu fakta yang sentiasa perlu diingat dalam membincangkan isu berkaitan zina.

2. Zina bukan hak kebebasan peribadi individu

Islam tidak menganggap zina atau seks bebas hak kebebasan peribadi individu, sehingga dengan itu dia berhak melakukannya dan tiada undang-undang boleh menghalangnya. Masyarakat Islam adalah masyarakat yang tidak memberikan kepada individu hak kebebasan untuk melakukan zina atau seks bebas. Oleh itu jenayah zina atau seks bebas berlaku secara berleluasa dalam masyarakat yang tidak menganggap zina sebagai jenayah, malah menganggapnya sebagai hak kebebasan individu. Ia juga berpotensi untuk berleluasa dalam masyarakat yang menganggapnya jenayah tetapi tidak mengenakan hukuman rejam atau sebat ke atas penzina.

Akibat kedua-dua pendirian ini masyarakat dunia hari ini mengalami kesan buruk daripada pelakuan zina dan seks bebas. Malaysia tidak terkecuali.

Dalam hubungan ini Islam selalunya teraniaya, kerana ia diminta menyelesaikan kesan-kesan negatif daripada perbuatan zina atau seks bebas yang timbul dalam masyarakat yang bukan islamik; masyarakat yang menganggap seks bebas hak individu atau masyarakat yang mengiktiraf zina itu jenayah tetapi tidak melaksanakan hukuman yang sepatutnya ke atas penzina. Ini tidak adil terhadap Islam.

3. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) dan Penyelesaian Kesan Zina

Untuk mengatasi kemudaratan yang timbul daripada zina, seks bebas dari semua aspek PBB telah mencadangkan penyelesaian mudah:

  • Menekankan kepada masyarakat dunia supaya menerima seks bebas adalah hak individu
  • Pendidikan seks
  • Menjelaskan penyakit-penyakit hasil seks rambang dan cara mengatasinya
  • Pencegahan kehamilan dengan membekalkan bahan konstraseptif.

 

3.0          Pengguguran Prespektif  Syariah

Perbincangan ini elok dimulai dengan melihat pandangan Syarak terhadap isu pengguguran. Ia boleh dijadikan sebagai landasan untuk menentukan sebarang keputusan isu perbincangan ini.

Perbincangan fuqaha mengenai isu pengguguran kandungan menampilkan  perbezaan pendapat, malah dalam satu mazhab terdapat pendapat yang saling bercanggah. Untuk menurunkan semua pendapat ini akan merumitkan dan akan memakan masa. Oleh itu berikut ini dirumuskan semua pendapat tersebut dan diakhiri dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh tokoh-tokoh ulamak Kerajaan Saudi Arabia.

Sebab Menghalalkan Penguguran

  1. Mengelak mudarat ke atas ibu dan anak
  2. Kandungan mengalami kecacatan melampau

 

Syarat Boleh Menggugurkan Kandungan.

  1. Usia kandungan tidak melebihi 120 hari.
  2. Yang menggugurkan adalah isteri yang sah
  3. Izin suami dan isteri
  4. Tidak memudaratkan ibu

 

Rumusan Hukum Menggugurkan Kandungan

Hukum menggugurkan kandungan bergantung kepada peringkat keadan janin dalam kandungan. Nas syarak membahagikannya kepada tiga tahap:

  1. Tahap sebelum sempurna sifat, iaitu bermula daripada benih menempat dalam rahim.
  2. Tahap sempurna sifat kejadian sebagai manusia, iaitu setelah usia kandungan 40 hari.
  3. Tahap ditiupkan roh, iaitu setelah janin berada dalam kandungan selama 120 hari atau empat bulan. ( Hadis Nutfah; Soheh Muslim 2643, Soheh Bukhari 3208 dan Soheh Muslim 2645)

 

Berdasarkan tahap-tahap ini pendapat fuqaha mengenai pengguguran adalah seperti berikut:

  1. Usia kandungan selepas ditiupkan roh iaitu empat bulan ( 120 hari). Semua fuqaha sepakat mengharamkannya. Malah ada yang mengharamkannya sekalipun membiarkan kandungan akan membawa mudarat kepada ibu (حاشية ابن عابدين (1/60)). Alasan yang diberikan ialah: pengguguran di peringkat ini sudah boleh dianggap telah membunuh satu nyawa.

 

       Namun fatwa Lajnah Mausu`ah Fiqhiyyah mengharuskan pengguguran selepas ditiupkan roh sekiranya pengguguran satu-satunya wasilah   menyelamatkan nyawa ibu.( الموسوعة الفقهية 2:57)  

       2.    Usia kandungan sebelum ditiupkan roh:

              i.    Telah sempurna sifat (sebelum 120 hari).  Fuqaha berbeza   pendapat mengenai hukum menggugurkan kandungan di tahap ini adalah seperti berikut:

                       a.     Sesetengah Hanafiyyah (حاشية ابن عابدين /6:591), sesetengah syafieyyah ( حاشية َقليوبى على شرح المحلى على المنهاج 3: 159-160 )mengharuskan ia digugurkan   secara mutlak.

                         b.     Mazhab Hanafi( حاشية ابن عابدين 2:380)  mengharuskan ia digugurkan kerana uzur syar`ie.

                       c.     Satu pendapat kalangan Hanafiyyah (حاشية ابن عابدين 2: 380).),Malikiyah ( حاشية الدسوقى 2:66) dan Syafi`iyyah (Nihayyah al Muhtaj 8:416) ia makruh digugurkan

              ii.     Usia kandungan sebelum sempurna sifat (sebelum 40 hari).

                          a.     Syafi`iyyah ( نهاية المحتاج 8:416 ) dan Hanabilah ((الفروع 6:191 mengharuskan

                           b.     Malikiyyah ( الشرح الكبير 2:266) menurut Imam al-Ghazali (احياء علوم الدين 2 : 53 dan mazhab Hanbali ( الفروع 6:191) mengharamkan ia digugurkan secara mutlak (dalam semua peringkat kandungan)

Meneliti semua pendapat ini dapat disimpulkan bahawa pendapat mereka mengenai pengguguran sebelum ditiupkan roh adalah seperti berikut:

  1. Pengguguran sebelum ditiupkan roh dan sebelum 120 hari (4 bulan); fuqaha khilaf tentang bila janin dianggap sebagai satu jiwa, dari situ mereka khilaf tentang hukum menggugurkannya.
  2. Menggugurkan kandungan dalam tempoh ini tidak dianggap membunuh satu nyawa.
  3. Sesetengah mereka yang mengharamkan pengguguran di tahap ini membandingkannya dengan haram membinasakan telur binatang buruan di Tanah Haram, ini menggambarkan bahawa mereka menganggap pengguguran itu perbuatan membinasakan sesuatu yang tidak memudaratkan, oleh itu ia jadi haram. Di antara mereka ada yang mengatakan pengguguran di tahap ini haram kerana apabila nutfah telah menempat dalam rahim ia sudah bersedia menerima roh.
  4. Janin memiliki kehormatan sendiri sejak awal kejadiannya, buktinya syarak menangguhkan pelaksanaan hukuman ke atas wanita hamil (al-Ghamidiyah) sehingga dia melahirkan anaknya.

 

Namun demikian fatwa ulamak Kerajaan Saudi Arabia telah memutuskan seperti berikut:

Tidak harus menggugurkan kandungan di semua tahap usia kandungan kecuali dengan alasan syar`ie dan dalam batas yang sangat sempit. Sekiranya kandungan dalam tahap empat bulan pertama dan penggugurannya atas alasan maslahat atau menolak mudarat yang dijangka berlaku, maka penggugurannya adalah diharuskan. Namun menggugurkannya pada tahap ini kerana bimbangkan kesukaran mendidik anak-anak, tidak mampu menanggung sara hidup dan pendidikan atau kerana bimbangkan masa depan mereka atau kerana suami isteri sudah berpada dengan bilangan anak yang ada, kesemua ini tidak mengharuskan pengguguran kandungan. Tidak harus menggugurkan kandungan di peringkat `alaqah atau mudghah kecuali setelah satu kumpulan doktor yang dipercayai mengakui bahawa mengekalkan kandungan akan membahayakan ibunya. Ia diharuskan setelah semua usaha mengelakkan bahaya dilakukan.

 

 4.0          Mencegah kehamilan.

Hukum mencegah kehamilan dapat dilihat dalam bentuk-bentuk berikut:

  1. Mencegah melalui pemandulan:

Jika pemandulan dilakukan atas sebab darurah syar`iyyah ia diharuskan

Jika ia dilakukan bukan atas sebab darurah syar`iyyah ulamak sepakat ia adalah diharamkan.

       2.    Pencegah dengan mengambil bahan kontraseptif  :

Mencegah kehamilan cara konstraseptif atas alasan uzur syar`iyyah diharuskan

Mengambil bahan kontraseptif tanpa uzur syar`iee, fuqaha berbeza pendapat:

             i.    Pendapat pertama mengatakan diharuskan, ia diqiyaskan ke atas isu `azal ( mengeluarkan mani di luar faraj isteri) diharuskan. Setelah mengetahuinya Rasulullah saw tidak menghalangnya.

            ii.    Pendapat kedua mengatakan makruh kerana ia telah menyimpang daripada tujuan asal perkahwinan iaitu mendapatkan zuriat.

5.0          Menggugurkan kandungan zina.

Seperti perbincangan pengguguran kandungan hasil hubungan suami isteri fuqaha juga membahagikan kandungan zina kepada tiga tahap:

  1. Tahap sebelum sempurna sifat, iaitu bermula daripada benih menempat dalam rahim sehingga 40 hari.
  2. Tahap sempurna sifat kejadian sebagai manusia, iaitu setelah janin berusia 40 hari.
  3. Tahap setelah ditiupkan roh, iaitu setelah janin berusia 120 hari (4 bulan).

 

Menggugurkan kandungan zina selepas ditiupkan roh.

Semua penulisan fuqaha sepakat mengharamkan pengguguran kandungan zina apabila janin telah sampai di usia ditiupkan roh. Alasan yang dikemukakan ialah:

  1. Semua alasan pengharaman menggugurkan kandungan hasil hubungan suami isteri
  2. Qiyas aulawi: kalau kandungan hasil hubungan suami isteri  haram digugurkan, maka kandungan hasil hubungan zina lebih-lebih lagi haram digugurkan.

 

Menggugurkan kandungan zina setelah sempurna sifat.

Fuqaha berbeza pendapat mengenai hukum kes ini seperti berikut:

  1. Menggugurkan kandungan setelah sempurna sifat (40 hari) adalah diharamkannya atas alasan:

             i.      Kisah al-Ghamidiyah ( صحيح مسلم 1695) yang mengandung dan mengaku zina kepada rasulullah saw. Jalan hujjah ialah:

                       a.     Rasulullah saw tidak mengarahkan al-Ghamidiyah menggugurkan kandungan zinanya. Sekiranya menggugurkan kandungan zina di usia tahap ini diharuskan tentulah Baginda saw mengarahkannya berbuat demikian.

                       b.     Baginda menangguhkan hukuman kerana memelihara janin dalam kandungan

                       c.     Baginda juga tidak bertanya tentang usia kandungan.

             ii.     Mudarat keaiban yang ditanggung penzina dan keluarga tidak boleh dijadikan alasan. Oleh itu mengelak kemudaratan terbabit tidak boleh dianggap sebagai maslahat syar`iyyah.

            iii.    Sekalipun menghalalkannya ada maslahat kepada penzina dan keluarganya tetapi ia hanya maslahat khusus, sedangkan pengharamannya menjamin maslahat umum, kerana ia akan membawa kepada kemudaratan nyata dalam masyarakat:

                      a.     Ia akan menjadi pemangkin kepada merebaknya perbuatan zina, lebih-lebih lagi di zaman di mana zina itu mudah didapati di mana-mana.

                      b.     Mendedahkan institusi keluarga kepada porak-peranda

                             Kaedah fiqhiyyah menyatakan: إذا تعارضت المصلحة العامة والمصلحة الخاصة قدمت المصلحة العامة

                            “Apabila maslahat umum bertembung dengan maslahat khusus, maslahat umum diutamakan”.

            iv.    Menghalalkan pengguguran di tahap ini membawa kepada perkara haram. Sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram

                      Kaedah fiqhiyyah menyatakan: ما يؤدى إلى الحرام فهو حرام

                      “Sesuatu yang membawa kepada haram adalah haram”.

    2.      Menggugurkan kandungan atas uzur syari`e. Sebab syar`iee yang mengharuskan ialah: mengekalkan kandungan  akan memudaratkan ibu zina. Ada fuqaha yang mengharuskannya. Kerana memelihara nyawa ibu lebih utama daripada memelihara nyawa janin ( الموسوعة الفقهية 2:57 ).

   3.    Ada pendapat mutakhir (www.islamtoday.net/nawafeth-artshow-86-5227.htm) mengatakan harus digugurkan di tahap ini sekiranya penzina terdiri daripada orang baik-baik, kebiasaannya tidak melakukan perbuatan jahat dan zina. Namun kalau latar belakang hidupnya kerap melakukan perbuatan jahat dan zina dia haram menggugurkan kandungan zinanya. Alasan yang diberikan ialah:

            i.      Sekalipun janin telah lengkap sifat dalam tempoh 40 hari namun asalnya adalah nutfah yang tidak dihormati kerana ia hasil daripada zina dan nutfah pula boleh dibuang melalui `azal.

           ii.     Fuqaha telah mengharuskan kandungan digugurkan dalam tahap ini atas alasan maslahat syar`iyyah demi menolak mudarat yang diandaikan akan berlaku.

Menggugurkan kandungan zina sebelum sempurna sifat (sebelum 40 hari).

Hukumnya adalah haram. Alasannya adalah sama dengan alasan pengharaman mengugurkan kandungan setelah sempurna sifat (setelah 40 hari).

6.0          Mencegah Kehamilan Zina

Maksud mencegah kehamilan zina ialah mencegahnya dengan menggunakan bahan konstraseptif setelah berzina dan membekalkannya kepada mereka yang  berisiko tinggi akan melakukan zina.

Membekalkan bahan konstraseptif kepada penzina

Hukumnya adalah haram: alasan pengharamannya ialah:

  1.    Semua alasan pengharaman menggugurkan kandungan selepas janin sempurna sifat (40 hari). Sekalipun dalam kes ini kehamilan belum pasti berlaku namun tujuan mengambil bahan konstraseptif adalah sama. Natijah dari kedua-dua perbuatan ini juga adalah sama. Oleh itu ia mengambil hukum yang sama. Kerana itulah fuqaha meletakkan kedua-dua kes ini dalam satu perbincangan yang sama.

 

      2.    Kes ini tidak boleh diqiyaskan kepada kes menggugurkan kehamilan oleh suami isteri dalam peringkat ini, kerana :

              i.      Pengguguran oleh suami isteri tidak mengakibatkan zina berleluasa dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

             ii.     Maslahat yang dipelihara dalam kes suami isteri adalah khusus. Maslahat yang cuba dipelihara dalam kes zina adalah umum. Kedua-duanya adalah kes yang berbeza, hukumnya juga berbeza.

      3     Pandangan yang mengatakan nutfah tiada kehormatan, oleh itu ia boleh dibersihkan dari rahim penzina, sama dengan kes `azal tidak boleh diterima, kerana hadis al-Ghamidiyah membuktikan nutfah dalam rahim dihormati. Dalam kes `azal mani ditumpahkan di luar faraj, dalam kes zina ke dalam faraj, kedua-duanya adalah kes yang berbeza hukum juga berbeza.

7.0          Menggugurkan Kandungan Wanita Dirogol.

Fuqaha membezakan antara kandungan hasil zina dengan kandungan hasil rogol. Penzina telah melakukan jenayah zina dengan kerelaan. Mangsa rogol bukan jenayah zina kerana perbuatan zina dipaksakan ke atasnya. Atas dasar perbezaan ini hukum fuqaha ke atas kes menggugurkan kandungan rogol juga berbeza.

Untuk menentukan hukum kes ini fuqaha membahagikan usia kandungan rogol kepada  tahap:

  1. Usia kandungan telah melebihi 120 hari semua fuqaha mengharamkannya tanpa uzur dan tanpa keperluan syar`ie. Alasannya ialah semua hujjah-hujjah pengharaman di atas.
  2. Usia kandungan sebelum sampai 120 hari adalah diharuskan kerana menggugurkan kandungan di peringkat ini tidak dianggap jenayah ke atas satu nyawa. Oleh itu ia diharuskan kerana uzur dan keperluan syar`ie.

 

8.0          Cadangan Penyelesaian

Perbincangan di atas menjelaskan bahawa membekalkan bahan konstraseptif kepada penzina tidak diharuskan dalam syariat Islam. Ia tidak menyelesaikan masalah, malah semakin membawa kemudaratan.

Memang pada hakikatnya tiada jalan pintas mengatasi masalah ini selain dari kembali kepada penyelesaian yang telah disediakan oleh Pencipta manusia yang tahu kekuatan dan kelemahan manusia, tahu apa yang diperlukan dan tidak diperlukan mereka, tahu apa yang membawa manfaat dan mudarat ke atas meraka. Namun jawapan sebegini bagi sesetengah orang tidak berjejak di dunia praktikal. Oleh itu cadangan-cadangan berikut dikemukakan.

  1. Menolak gagasan yang dibawa dan mahu dipaksakan PBB ke atas dunia; mengiktiraf seks bebas atau zina adalah hak kebebasan peribadi individu
  2. Mengiktiraf bahawa zina itu jenayah dan kempen kesedaran mengenai dosa dan kemudaratan jenayah zina seperti kempen dadah itu najis.
  3. Memerangi jenayah ini seperti memerangi najis dadah.
  4. Menyediakan pusat-pusat serenti bagi membangun keinsafan kepada penjenayah-penjenayah zina, hamil atau tidak, sama seperti pusat serenti penagih dadah.
  5. Penzina yang datang ke klinik-klinik kerajaan atau swasta, mengaku telah melakukan zina dan meminta dibekalkan bahan konstraseptif hendaklah dianggap telah mengaku melakukan jenayah zina. Doktor atau pegawai kesihatan hendaklah bertanggungjawab melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa: polis atau mahkamah syariah dan seterusnya menjadi saksi perbicaraan seperti kes-kes jenayah lain.
  6. Kes juga mesti diberitahu kepada ibubapa atau penjaga penzina terbabit dan penempatannya di pusat-pusat serenti mestilah dalam pengetahuan mereka.

 

9.0          Penutup

Apa yang dikemukakan dalam kertas ini bukanlah satu kajian yang sempurna dari semua aspek. Ia disediakan sebagai bahan awal perbincangan. Sebarang keputusan atau cadangan hendaklah dikemukakan kepada pihak berwajib, terutama keputusan berkaitan hukum syarak.





PENGENALAN RINGKAS ISU GENDER

14 09 2009

Dr Roselainy binti Abdul Rahman

 

1.0       PENGENALAN

Adakah kajian tentang gender sesuatu yang relevan dalam membincangkan tentang pembangunan umat Islam, wanita dan lelaki?  Persoalan ini masih dibincangkan oleh beberapa tokoh Islam di serata dunia. Namun realitinya, sebilangan besar negara-negara Islam, terutama, negara-negara yang berada dalam Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah pun menjadikan ‘pendekatan peka gender’ dan ‘kesaksamaan gender’ sebagai asas pelan pembangunan wanita negara mereka. Malaysia juga menjadi salah sebuah negara yang telah pun memberikan komitmen untuk melaksanakan polisi dan pelan tindak pembangunan wanita berasaskan ‘kesaksamaan gender’. Mengimbangkan semula hubungan gender diandaikan sebagai sangat penting untuk membawa kemajuan dan perubahan. Terdapat dua istilah yang digunakan dalam mengutarakan perspektif gender iaitu, ‘kesaksamaan gender (gender equity)’ dan ‘persamaan gender (gender equality)’. Sedikit penjelasan tentang perkara ini akan diberikan dalam penulisan ini.

Satu lagi pendekatan yang digunakan ialah mengaitkan isu pembangunan wanita dengan hak asasi manusia bahkan dalam isu pembangunan negara-negara, semua agensi di PBB akan melaksanakan program dan menghulurkan bantuan berasaskan “pendekatan hak asasi manusia”.  Dalam penulisan ini, beberapa aspek dalam isu gender ini akan di bincangkan dengan tumpuan utama ialah untuk memberi pendedahan asas kepada kefahaman tentang gender dan kesaksamaan gender.

 

2.0       LATAR  BELAKANG

2.1       Sejarah Ringkas Persidangan Antarabangsa tentang Wanita

Isu wanita dan hak wanita telah menjadi tumpuan PBB dalam usaha untuk membina satu dunia yang lebih saksama pasca dua peperangan dunia. Di serata dunia, penindasan, kekerasan dan kekejaman terhadap kaum wanita sering berlaku. Oleh itu, beberapa persidangan antarabangsa telah diadakan untuk membincangkan faktor-faktor yang mewujudkan keadaan tersebut, mencadangkan kaedah-kaedah penyelesaian dalam bentuk polisi, undang-undang dan kaedah perlaksanaannya dalam memberikan wanita hak-hak mereka. Berikut di senaraikan beberapa persidangan yang berkaitan. Persidangan ini di bawah naungan Commission on the Status of Women (CSW) dan sekretariatnya ialah Department on the Advancement of Women (DAW).

1952 – CSW menyediakan Convention tentang hak politik wanita yang diterima oleh UN General Assembly

1967 – World Declaration on Eliminating All Forms of Discrimination against Women

1973 – CSW memulakan persediaan untuk ‘Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women’ (CEDAW)

1974 – World Declaration on the Protection of Women and Children under Emergencies and Armed Disputes

1975 – Persidangan Wanita UN yang pertama

1975-1985 – UN Decade for Women

1979 – Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW). Ia dianggap sebagai undang-undang antarabangsa bagi hak wanita. Konvension ini telah berkuatkuasa pada 3 September 1981, dan pada March 2004, dipersetujui oleh 176 buah negara.

1980 – Persidangan Wanita UN Kedua; Programme of Action for the Second Half of the Decade of Women.

1985 – Persidangan Wanita UN Ketiga; The Forward Looking Strategies berasaskan objektif dekad wanita: Equality, Development and Peace

1994: 3-4 Mac, NGO Consultation Meeting; 7-18 Mac, CSW; Sept, International Conference on Population Development

1995– NGO Forum on Women;  mempengaruhi Platform for Action dan penumpuan visi wanita  dalam abad ke-21.

1995 – Persidangan Wanita UN ke-empat; ‘Beijing Declaration and Platform for Action’; ulang tahun kelima puluh penubuhan UN
 

2.2        Masalah Wanita yang perlu ditangani

Dalam persidangan di Beijing pada tahun 1995, beberapa kategori permasalahan wanita dan kanak-kanak perempuan telah ditentukan dan ia berjaya menetapkan satu pelan tindak bagi pemerkasaan dan memajukan kedudukan dan hak wanita seluruh dunia. Maka “Beijing Declaration and Platform for Action” telah memperkukuhkan lagi peranan CEDAW sebagai undang-undang antarabangsa dan memantapkan lagi pemikiran tentang apakah masalah dan penyelesaian yang terbaik bagi kaum wanita sedunia merentas bangsa, ugama, budaya dan negara. Kategori tersebut adalah:

(1) Wanita dan Kemiskinan                   (2) Wanita, Pendidikan dan Latihan

(3) Wanita dan Kesihatan                     (4) Kekerasan terhadap wanita

(5) Wanita dan Peperangan                  (6) Wanita dan Ekonomi

(7) Wanita dan kekuasaan serta membuat keputusan

(8) Mekanisma institusi dalam memajukan wanita

(9) Hak kemanusiaan wanita               (10) Wanita dan media

(11) Wanita dan alam sekitar              (12) Kanak-kanak perempuan
 

2.3       Perbincangan

Ada beberapa perkara untuk di ambil perhatian:

(1)   Usaha memajukan wanita ini adalah usaha yang terancang dan tersusun semenjak 45 tahun yang lalu. Hasilnya dapat kita lihat sekarang dalam bentuk ‘social globalisation’ yang mana satu budaya global lebih diminati oleh kaum wanita.

(2)   Usaha ini mendapat sokongan para aktivis wanita terutama yang giat memperjuangkan hak wanita di negara masing2. Pencabulan hak wanita memang berlaku di banyak negara termasuk negara-negara Islam dan keadaan ini menyebabkan ramai aktivis wanita di negara Islam juga menyalahkan ajaran Islam sebagai salah satu punca wujud keadaan yang tidak adil di kalangan wanita. Antara kes-kes yang selalu dibangkitkan sebagai contoh-contoh kelemahan Islam dalam melindungi wanita adalah: “terbatasnya hak wanita dalam pendidikan dalam negara-negara tertentu; tiada suara dan hak dalam menentukan jodoh masing-masing; tiada hak dalam menuntut cerai, penjagaan kesihatan wanita yang lemah seperti kadar kematian wanita apabila melahirkan anak yang tinggi, wanita yang disunatkan secara keterlaluan (female genital mutilation).”

Kita sedar bahawa apa yang berlaku mungkin di sebabkan negara itu tidak melaksanakan ajaran Islam sebenar dan berlakunya satu percampuran faktor-faktor seperti kejahilan, kemiskinan, peruntukan pembangunan yang tidak seimbang di antara pendidikan, kesihatan dan lain-lain kepentingan seperti memantapkan ketenteraan untuk keselamatan,  adat-adat budaya dan selainnya. Gerakan-gerakan Islam di negara-negara Islam juga giat memperjuangkan hak wanita tetapi dalam konteks tanggung jawab dan hak yang telah di amanahkan oleh Allah swt kepada wanita dan lelaki sebagai hamba Allah dan khalifah. Namun demikian, terdapat perbezaan pendapat tentang peranan wanita, haknya dan tanggung jawab mereka dalam pembangunan masyarakat terutama dalam aspek penglibatan awam (public involvement). Pegangan-pegangan serta kefahaman gerakan-gerakan tersebut merentas satu julat yang merangkumi pendekatan konservatif, yang lebih kontemporari sehinggalah pendekatan yang liberal.

(3)   Wanita-wanita yang terlebih awal aktif dalam sistem PBB adalah secara majoriti berpegang kepada kefahaman ‘feminisma’. Bagi mereka, menjadi pendokong ‘Feminisma’ bermaksud berusaha untuk mengubah ketidaksamaan dalam hubungan kuasa lelaki dan wanita yang telah pun wujud turun temurun. Oleh itu, mereka mempunyai pendekatan tersendiri dalam menganalisa permasalahan wanita dan penentuan penyelesaiannya. Mereka berpendapat bahawa punca utama masalah wanita ialah chauvinisma kaum lelaki yang suka kaum wanita mereka di bawah penguasaan mereka dan dalam bentuk yang lebih buruk akan berlaku penindasan, kezaliman dan diskriminasi terhadap kaum wanita. Oleh itu, perjuangan mereka sentiasa berasaskan usaha gigih untuk memberikan ‘kuasa’ kepada wanita untuk menentukan masa depan mereka sendiri, menuntut penggubalan undang-undang yang akan memelihara hak tersebut, merubah budaya atau ajaran ugama yang dirasakan ‘menindas’ wanita.

(4)   CEDAW dianggap sebagai International Bill of Rights maka ia berkait dengan Universal Declaration of Human Rights (UDHR), International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR) dan Convention on the Rights of the Child (CRC). Persidangan antarabangsa tentang wanita ini masih berlangsung dan dalam bulan Mac 2009, CSW yang ke 53 telah diadakan. Malaysia telah pun mengesahkan CEDAW pada tahun 1985 tetapi tidak ICCPR dan ICESCR.

 

3.0       KEFAHAMAN TENTANG GENDER DALAM PENGGUNAAN SEMASA OLEH PBB 

3.1        Pentakrifan Gender

Apakah perbezaan antara istilah ‘seks’ dan ‘gender’ dalam kerangka yang dikemukakan oleh PBB? Seks merujuk kepada perbezaan secara biologi  di antara lelaki dan wanita, Manakala gender membawa maksud peranan sosial lelaki dan wanita dalam sesuatu budaya dan masyarakat. Oleh itu peranan gender akan terbentuk dengan dipengaruhi  oleh satu proses sosialisasi yang kompleks dan mungkin berbeza-beza mengikut keadaan adat dan budaya. Ia ditentukan oleh sikap, kepercayaan dan tingkah laku yang sepadan dengan apa yang dianggap sebagai kelakian dan kewanitaan ideal. Maka gender bergantung kepada interpretasi tentang tingkah laku yang sesuai bagi wanita dan lelaki dalam sesuatu budaya. Oleh kerana peranan gender boleh dibentuk maka ia juga boleh diubah dan dibentuk semula untuk mewujudkan keadaan yang lebih adil dan saksama di antara lelaki dan wanita. Maka, kesamaan gender apabila disebut dalam konteks pembangunan wanita membawa maksud menghapuskan apa-apa rintangan yang dikenakan kepada mereka berdasarkan definisi budaya tentang peranan mereka dalam masyarakat.

3.2        Pendekatan terhadap Kesamaan Gender

Ada tiga pendekatan terhadap kesamaan gender:

(1)   Kaedah Formal/Persamaan: dalam kaedah ini, lelaki dan wanita dianggap sama maka hendaklah mereka dilayani dengan cara yang sama tanpa mengambilkira perbezaan biologi atau gender di antara mereka. Kaedah ini boleh membebankan wanita kerana ia ‘buta gender’ dan kaum wanita terpaksa mengikut standad lelaki walaupun keadaan sosial dan ekonomi mereka tidak sama.

(2)   Kaedah Melindungi: kaedah ini mengiktiraf perbezaan antara lelaki dan wanita dengan menghalang wanita daripada beberapa bidang dengan alasan untuk ‘melindungi mereka’. Walaupun ia seolah-olah satu kebaikan tetapi kaedah ini berasaskan nilai gender negatif terhadap wanita dengan mengandaikan bahawa mereka adalah kaum yang lemah.

(3)   Kaedah Persamaan Substantif: pendekatan ini mengiktiraf perbezaan di antara lelaki dan wanita tetapi menekankan perlu ada persamaan di antara mereka. Ini adalah pendekatan yang digunakan dalam CEDAW iaitu ia memerlukan penghasilan yang sama bukan layanan yang sama (equal outcomes rather than equal treatment).Persamaan yang dituntut adalah dalam bentuk (i) peluang dan capaian yang sama dan (ii) hasil yang sama.

3.3        Kepentingan Kesamaan Gender

Ada tiga sebab kenapa gender dan kesamaan gender adalah penting untuk pembangunan, iaitu

(1)   Ketidaksamaan gender merupakan ketidaksamaan yang selalu didapati di semua masyarakat serata dunia.

(2)   Ketidaksamaan gender boleh berlaku dalam suatu masyarakat tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi iaitu sama ada dalam kumpulan yang kaya, miskin, bangsa yang dominan atau bangsa yang dianggap bawahan.

(3)   Wanita mempunyai tanggung jawab dalam aktiviti ekonomi dan penjagaan manusia.  Maka perlu ada satu kesepaduan di antara pembangunan ekonomi dan pembangunan manusia. Wanita menjadi mangsa utama jika kedua-dua perkara ini celaru dan bertentangan.

3.4       Beberapa rumusan ringkas

(1)   Walaupun menggunakan teori gender bukan menunjukkan feminisma tetapi analisa terhadap penindasan wanita yang menggunakan asas ketidaksamaan gender itu adalah hasil daripada kerangka pemikiran feminisma. Setiap  pendekatan yang diutarakan di atas merupakan hasil pemikiran teori-teori feminisma. Walaupun feminisma itu juga mempunyai berbagai aliran tetapi ia sepakat dalam perkara ini.

(2)   Apa yang ditulis dalam Bahagian 3 ini merupakan sedutan daripada dokumen resmi PBB dan memberikan pentakrifan tentang kesamaan gender. Jelas sekali pemikiran feminisma telah menjadi aliran pemikiran perdana dalam isu gender.

(3)   Dalam maksud, ‘gender equity’ dan gender equality’ mungkin berbeza tetapi apabila disandarkan kepada kaedah Substantive Equality maka dalam penggunaan kedua-duanya membawa maksud yang sama.

 

4.0       KEFAHAMAN TENTANG GENDER DARI PENDEKATAN BERASASKAN ISLAM

4.1        Beberapa Contoh Pendirian

Pendekatan terhadap isu gender ini berbentuk penerimaan keseluruhan, penolakan atau penerimaan bersyarat.

Yang menerima secara menyeluruh terdiri daripada muslim, sama ada aktivis atau ilmuwan, yang merasakan diri mereka reformis untuk meliberalisasikan Islam dan ini termasuklah feminis muslim. Oleh kerana pendirian mereka memang berasaskan pemikiran kebaratan maka kelompok ini tidak berbeza sangat dengan mereka yang memperjuangkan kesamaan gender di Barat. Namun demikian mereka berusaha untuk mengguna ayat-ayat Quran dan kisah daripada seerah untuk mengukuhkan hujah mereka.

Bagi golongan yang Islamik pula, satu kumpulan menolak terus teori gender. Dalam menganalisis dan berhujah tentang isu pembangunan wanita, mereka menegaskan penggunaan istilah lelaki dan wanita serta peranan lelaki dan wanita daripada menggunakan istilah gender. Pendirian ini di ambil bukan kerana mereka tidak peka tentang ada berlakunya kepincangan tertentu dalam keadaan hidup wanita tetapi kerana wujudnya agenda tersirat dalam penggunaan istilah gender yang telah di kenal pasti. Antaranya ialah

(a) pengiktirafan kepada peranan gender yang berbeza daripada norma seperti lesbian, homoseksual, mak nyah dan lain-lain sebagai keadaan yang sah dan perlu dinobatkan dalam undang-undang.

(b) Begitu juga pendekatan gender bermaksud satu penilaian semula terhadap institusi keluarga yang merasakan definisi tradisional tentang keluarga iaitu ibu, ayah dan anak-anak, tidak lagi relevan dan perlu mengambilkira bentuk keluarga baru terutama keluarga homoseksual/lesbian.

(c) Peranan seorang ibu yang tidak bekerja di luar rumah dianggap tidak ekonomik kerana tidak menjana pendapatan. Begitu juga dengan peranan seorang isteri. Ada yang merasakan ia satu diskriminasi kerana bekerja tanpa gaji.

(d) ‘Perspektif gender’ digunakan secara meluas dalam dokumen-dokumen, polisi dan pelan tindak tentang pembangunan wanita tetapi jika diteliti, definisi gender agak kabur dan terlalu longgar sehingga boleh membawa sebarang maksud. Berjayanya kesamaan gender dilaksanakan di negara Barat seperti New Zealand, England, Sweden, Norway, Germany, USA dan lain-lain menunjukkan satu perkembangan yang tidak sihat terhadap norma dan tata susila hidup bermasyarakat. Setiap negara tersebut telah pun mengadakan undang-undang membolehkan perkahwinan sama jantina dan membolehkan pasangan sama jantina mengambil anak angkat atau melahirkan anak dengan cara-cara seperti ‘surrogate motherhood’ atau IVF atau lain-lain cara. Hanya beberapa negeri di US yang masih bertahan dalam menolak undang-undang tersebut.

Bagi kumpulan yang menggunakan istilah gender pula, mereka mengambil pendirian untuk mentakrifkan apakah yang dimaksudkan dengan gender tetapi dengan meletakkannya dalam kerangka peranan wanita dan lelaki berpandukan ajaran Islam. Oleh itu tumpuan mereka dalam membincangkan gender ialah apakah ‘sifat kelakian’ dan ‘sifat kewanitaan’ seperti yang dimaksudkan oleh ajaran Islam dengan penegasan terhadap menunaikan hak-hak wanita yang telah dijanjikan oleh Allah swt. Pada hakikatnya, mereka menggunakan istilah gender tetapi ia membawa makna ‘seks’ iaitu lelaki dan wanita. Kaedah yang digunakan untuk menghapuskan diskriminasi, penindasan dan kezaliman terhadap wanita ialah dengan meningkatkan kesedaran, perlaksanaan ajaran dan hukum-hukum Islam yang sebenar.

4.2       Pendirian CIO dan IICWC

CIO (Coalition of Islamic Organisation) dan IICWC (International Islamic Committee for Women and Child) merupakan organisasi yang menggabungkan berbagai organisasi Islam di serata dunia. Sehingga kini, CIO mempunyai 90 ahli. Penggerak utam CIO ialah International Islamic Committee for Dakwah and Relief. Salah seorang ahli jawatankuasa IICDR ialah Yusuf Qardhawi. Wakil daripada kedua-dua gagasan ini telah mengikuti persidangan-persidangan PBB (dari tahun 90-an) dan berusaha untuk menyampaikan pendirian Islam dalam isu-isu penting yang dibincangkan. Antara hasil penulisan yang telah mereka usahakan adalah, (i) Critical Review of CEDAW, (ii) Islamic Charter of Children dan (iii) Islamic Charter of the Family. CIO mengambil pendirian untuk menolak penggunaan istilah gender dan dalam setiap persidangan akan mengemukakan cadangan-cadangan untuk menukar istilah gender kepada istilah ‘lelaki dan wanita’.

4.3       Perbincangan

(1)   Kesedaran dan penguasaan terhadap isu gender dan kesamaan gender ini tidak meluas di kalangan ilmuwan dan ulama muslim. Oleh kerana berbagai isu dan perkara yang dianggap sangat penting dalam menangani pergolakan dalam perkembangan umat, isu gender tidak diberikan fokus kerana ia dianggap sebahagian daripada isu pembangunan sosial dan penumpuan lebih diberikan kepada masalah akidah dan kerosakan akhlak dan sebagainya.

(2)   Namun realitinya, kebanyakan negara Islam mempunyai pelan tindak pembangunan wanita yang meletakkan ‘perspektif gender’ sebagai asas penting. Walaupun begitu, negara-negara Islam tersebut telah meletakkan ‘reservation’ bahawa mereka tidak akan melaksanakan CEDAW yang bertentangan dengan sama ada ajaran Islam atau syariah atau undang-undang negara masing-masing. Setiap negara ini juga meletakkan peranan keluarga dengan pentakrifan tradisional sebagai asas pembangunan masyarakat. Ini merupakan keadaan yang positif tetapi pada hakikatnya wujud terlalu banyak penyelewengan lain dalam aspek melaksanakan dan menghayati Islam termasuklah dalam isu peranan wanita.

 

5.0       GENDER DALAM KERTAS DASAR PEMBANGUNAN WANITA NEGARA MALAYSIA

5.1       Kefahaman tentang Gender dan Penggunaan Istilah dalam Kertas Dasar Wanita Negara

Malaysia adalah salah satu negara yang telah mengambil tindakan yang konkrit dalam isu pembangunan wanita dan telah menggubal Dasar Wanita Negara pada tahun 1989. Ia bertujuan untuk mengintegrasikan wanita sepenuhnya dalam proses pembangunan negara. Ia diasaskan di atas CEDAW teatpi dengan ‘reservation’ bahawa Malaysia tidak akan melaksanakan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang syariah Malaysia. Oleh itu, kefahaman gender dalam dokumen di Malaysia bermaksud ‘lelaki dan wanita’. Malaysia juga telah mengesahkan CEDAW pada tahun 1995. Tetapi sebagai melahirkan komitmen Malaysia terhadap CEDAW, Art. 8 (2) dalam Perlembagaan Federal telah dipinda pada Julai, 2001 untuk memasukkan gender sebagai salah satu asas untuk penghapusan diskriminasi. Ini adalah hasil daripada lobi beberapa kumpulan wanita yang mahu memasukkan kedua-dua istilah, seks dan gender dalam artikel tersebut.

Pada bulan Mei 2007, suatu penilaian dan penggubalan semula kertas dasar dan pelan tindak dilakukan dan dalam kertas Dasar Wanita Negara mukadimahnya berbunyi, “ Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara, prinsip Islam Hadhari dan Dasar Sosial Negara, Dasar Wanita Negara ini mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pemabgunan negara yang seimbang di antara pembangunan fizikal an pembangunan rohaniah”.

 

6.0       KESIMPULAN  DAN PERBINCANGAN 

Artikel ini hanya merupakan pengumpulan dan penyampaian semula beberapa penulisan tentang gender dan kesamaan gender. Adakah isu ini penting di Malaysia? Perkembangan terkini menunjukkan bahawa ia adalah penting kerana telah pun wujud kumpulan NGO wanita yang khusus tentang gender, Jawatankuasa Kabinet untuk Kesamaan Gender, Parliamentary Caucus on Gender  dan baru-baru ini KPWKM telah melancarkan majallah Agenda Gender.

Pendekatan yang telah diambil oleh ilmuwan dan ulama Islam yang menolak sepenuhnya penggunaan gender atau menerimanya dengan bersyarat perlulah dikaji supaya kita mempunyai satu pendirian yang jelas tentang isu ini. Beberapa persoalan yang berbangkit:

(1)   Apakah isu gender relevan dalam pembangunan wanita muslim?

(2)   Adakah kesamaan gender sudah pun termaklum dalam ajaran Islam?

(3)   Apakah hala tuju perjuangan kesamaan gender yang sebenar?

(4)   Bolehkah Malaysia, khususnya dan lain-lain negara Islam mempertahankan ‘reservation’ mereka untuk tidak melanggar hukum syara’ di peringkat antarabangsa? Berbagai pihak dalam negera dan di luar negara sedang mendesak untuk penarikan semua ‘reservation’ yang telah dibuat.

Kita juga sepatutnya memberi satu tumpuan yang serius terhadap isu gender ini dalam beberapa aspek lain iaitu meningkatkan kefahaman aktivis Muslim (lelaki dan perempuan) pembangunan wanita tentang kekaburan dan agenda tersirat dalam isu ‘gender’; kefahaman tentang peranan dan kedudukan wanita dalam Islam serta satu usaha sepakat dalam mengemukakan penambahbaikan terhadap layanan dan santunan terhadap wanita dalam sistem undang-undang syariah di Malaysia, usaha giat untuk meningkatkan rasa tanggung jawab kaum lelaki dalam menghormati dan melindungi hak-hak wanita khususnya ahli keluarga mereka atau dalam masyarakat secara amnya.

 Jelas sekali, artikel ini hanya memberi satu pandangan umum dan ringkas yang dibentuk oleh pemikiran secara peribadi walaupun disedut daripada beberapa artikel dan buku.

 

 7.0       BIBLIOGRAFI DAN RUJUKAN

(1)   Jamal Badawi, Gender Equity in Islam

(2)         CIO, 2001, A Critical Review of CEDAW.

(3)         Mona Abul Fadl, Understanding Gender in Muslim Societies

(4)         Omaima Abou Bakr, (i) Gender Perspectives in Islamic Traditions dan (ii) A Muslim woman’s reflection on gender.

(5)         Riffat Hassan, Members, One Another: Gender Equality and Justice in Islam

(6)         Salbiah Ahmad, 2005, Gender Equality under Article 8: Human Rights, Islam and “Feminisms”, 13 Malaysian Law Conference.

(7)         The Human Rights Approach to MDG 3: Promote Gender Equality and Empower Women

(8)         UN Document , Convention on the Elimination of all Forms of Dicrimination against Women  (CEDAW).

(9)         UN Document, Beijing Declaration and Platform for Action.

(10)     Zeenath Kausar, 2002, Woman’s Empowerment and Islam, Ilmiah Publishers, Kuala Lumpur.





BATAS-BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN DALAM MASYARAKAT ISLAM KINI: SATU HURAIAN HUKUM ISLAM SEMASA

27 08 2009

Oleh: Prof Madya Dr. Anisah Ab Ghani

 

PENDAHULUAN

Allah s.w.t mencipta manusia lelaki dan perempuan. Ia juga mencipta Syariat untuk mereka. Dalam Syariat Islam ada sesetengah hukum atau peraturan berbeza di antara lelaki dan perempuan dan ada yang tidak berbeza. Dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing kadangkala berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi dalam masyarakat kini. Penulisan ini cuba melihat sejauhmana batas-batas pergaulan yang dilarang dan dibolehkan dalam Syariat Islam.

 

PENGERTIAN PERGAULAN

Pergaulan dalam bahasa Arab disebutkan ikhtilat berasal daripada kalimah “khalata yakhlutu khaltan” yang bererti bercampur.[1]

             Maksud pergaulan (ikhtilat) dalam perbincangan ini ialah bergaul atau bercampur di antara lelaki dan perempuan ajnabi (yang sah kahwin) di satu tempat yakni berlaku interaksi dalam bentuk pandang-memandang atau perbuatan di antara seseorang dengan lain. Ertinya, ia berlaku antara tiga orang atau lebih. Ia berbeza dengan khalwat yang hanya terdiri dari dua orang sahaja.

 

HUKUM PERGAULAN DI ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Hukum asal pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi (harus nikah) adalah haram. Namun demikian, pengharaman ini tidak didasarkan kepada nas yang sarih kerana tiada nas sarih mengenai kes ini. Pengharamannya hanya diasaskan kepada hukum lain ynag pada asalnya dikhususkan bagi kaum wanita kerana dalam hukum-hukum terbabit terdapat unsur-unsur pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Hukum-hukum yang dimaksudkan ialah; larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, solat berjemaaah di masjid bagi wanita, hukum jihad bagi wanita-wanita dan hukum solat jumaat bagi wanita.

 1.      Larangan Berkhalwat dan Musafir tanpa mahram

Perempuan dilarang bermusafir bersendirian tanpa mahram dan dilarang berkhalwat dengan lelaki ajnabi (sah kawin dengannya).

Kedua-dua larangan ini didasarkan kepada hadis-hadis berikut:

                 i.            Maksudnya: “Perempuan tidak harus musafir kecuali ada bersamanya mahram dan lelaki tidak harus masuk (dalam rumah) perempuan kecuali ada bersamanya mahram.”[2]

                ii.            Maksudnya: “Lelaki tidak harus berkhalwat dengan perempuan kecuali bersamanya mahram dan tidak harus musafir kecuali bersamanya mahram.”[3]

 Hadis pertama melarang lelaki ajnabi berkhalwat dengan wanita di dalam bilik atau rumah. Hadis kedua pula melarang wanita keluar mengerjakan haji tanpa mahram. Kedua-dua hadis ini telah dijadikan oleh para fuqaha’[4] sebagai dalil pengharaman pergaulan lelaki dan perempuan; kerana kedua-duanya mengandungi unsur pergaulan.

             Walau apapun, satu kesimpulan dapat dibuat iaitu pergaulan perempuan dengan lelaki bukan mahram adalah diharamkan. Namun, pengharaman ini bukanlah didasarkan kepada suatu nas Syarak yang sarih kerana tiada nas Syarak yang dengan jelas menyatakan demikian. Pengharaman ini hanyalah didasarkan kepada pengharaman khalwat yang terdapat dalam hadis pertama di samping larangan bergaul yang boleh difahami dari larangan ke atas wanita mengerjakan haji tanpa mahram. Dengan kata lain, oleh kerana khalwat antara wanita dan lelaki bukan mahram diharamkan maka pergaulan antara wanita dan lelaki bukan mahram juga adalah haram. Begitu juga, oleh kerana perempuan dilarang mengerjakan haji tanpa mahram kerana perbuatan itu mendedahkannya kepada pergaulan dengan lelaki maka semua bentuk pergaulan wanita dengan lelaki bukan mahram adalah haram.

             Begitu juga hukum sebaliknya, iaitu oleh kerana wanita tidak haram berkhalwat dengan lelaki mahram kerana darurat,[5] maka juga tidak haram bergaul dengan lelaki mahram atas alasan darurat. Jelas di sini, hukum boleh dengan tidak boleh wanita bergaul dengan lelaki mahram adakah sinonim dengan hukum boleh dan tidak boleh dia berkhalwat dengan lelaki mahram, begitu juga boleh dan tidak boleh beliau musafir tanpa mahram.

 2.      Hukum Perempuan solat Jemaah di Masjid

Rujukan kedua bagi pengharaman pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi ialah keizinan bagi wanita melakukan solat jemaah di masjid. Solat jemaah di masjid digalakkan bagi kaum lelaki, tidak bagi kaum wanita. Malah sebaliknya solat wanita di rumahnya adalah lebih afdhal bagi mereka.[6]

 Keizinan bagi wanita solat berjemaah di masjid tidak mutlak. Ia diikat dengan berbagai syarat; keizinan suami atau wali,[7] tidak memakai bau-bauan tidak berhias[8] dan tidak bercampur gaul dengan lelaki semasa solat jemaah di dalam masjid.[9] Syarak menentukan saf bagi wanita dalam solat jemaah mestilah di belakang saf lelaki. Penentuan ini sabit melalui nas hadis seperti yang dinyatakan oleh Abdullah bin `Abbas yang beliau mendirikan solat di sebelah Rasulullah s.a.w dan Aisyah r.a mendirikan solat bersama di belakang mereka. Beliau berdiri di sebelah kanan Rasulullah s.a.w. Mereka menunaikan solat bersama.[10]

             Pensyaratan-pensyaratan yang dikenakan dalam kes wanita solat berjemaah dengan lelaki ini menunjukkan bahawa pergaulan antara lelaki dan wanita adalah haram. Lebih-lebih lagi jika dihalusi persoalan kedudukan saf bagi wanita; di belakang saf lelaki. Ertinya wanita tidak boleh berada dalam satu saf dengan  lelaki. Kalau dalam solat yang suasananya penuh taqwa, jauh dari fitnah pun wanita tidak dibenarkan bergaul dalam satu saf dengan lelaki apatah lagi dalam situasi lain yang jauh lebih tidak taqwa dan lebih terdedah kepada fitnah, sudah  tentu tegahan bergaul dalam keadaan itu lebih ditegah. Kesimpulannya, pengharaman pergaulan lelaki dan perempuan adalah dirujukkan kepada nas yang melarang wanita bergaul dalam satu saf sewaktu melakukan solat jemaah bersama lelaki di samping pensyaratan-pensyaratan lain. Ini bererti kebolehan berlaku pergaulan dengan wanita dan lelaki ajnabi adalah bergantung kepada pensyaratan boleh berlakunya solat jemaah wanita bersama lelaki. Dengan kata lain pergaulan wanita dan lelaki ajnabi bukan boleh secara mutlak, tetapi boleh dengan syarat-syarat yang ditentukan.

 3.      Hukum Wanita Turut Serta Dalam Perang Jihad

Rujukan ketiga bagi pergaulan wanita denga lelaki ajnabi ialah hukum wanita turut serta dalam perang jihad. Menurut hukum asal, wanita tidak wajib turut serta dalam perang jihad. Aisyah r.a pernah meminta izin daripada Rasulullah s.a.w untuk turut serta berjihad, tetapi Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa jihad bagi wanita adalah mengerjan haji.[11]

             Dalam menghuraikan hadis ini, Ibn al-Battal menyatakan bahawa wanita tidak wajib berjihad di medan perang kerana mereka diwajibkan berhijab dan tidak boleh bergaul dengan lelaki.[12]

             Jelas dilihat bahawa Rasulullah s.a.w tidak mengizinkan Aisyah turut serta dalam perang jihad adalah kerana mereka ditegah bergaul dengan lelaki. Ertinya, kalau dalam keadaan perang jihad mempertahankan Islam, satu keadaan yang sangat kritikal kepada orang Islam dan agama Islam sendiri wanita tidak diizinkan bergaul, maka dalam kes-kes lain yang tidak mendesak adalah lebih tidak dibenarkan.

 4.      Wanita Tidak Wajib Solat Jumaat

Fuqaha’ sepakat mengatakan bahawa wanita tidak wajib menunaikan solat jumaat.[13] Mazhab Hanafi berpendapat sebab wanita tidak wajib solat jumaat ialah kerana wanita sibuk dengan urusan rumah tangga di samping mereka ditegah keluar bersama kaum lelaki dlam keadaan yang boleh membawa fitnah.[14] Alasan ini  membawa erti bahawa hukum pergaulan antara wnaita dan lelaki ajnabi adalah haram.

Di awal perbincangan telah dinyatakan, tiada nas sarih yang secara langsung mengharamkan pergaulan perempuan dengan lelaki ajnabi. Namun demikian, dalam konteks ini kaedah al-Asl fi al-Asyia’ al-Ibahah, tidak dapat digunakan untuk menyatakan bahawa hukum asal pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi adalah harus, kerana nas-nas yang dikemukakan di atas secara tidak langsung telah mengandungi unsur-unsur larangan dari pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi. Oleh itu, keharusan yang mutlak dalam kes ini sudah tidak ada lagi.

 

BATAS-BATAS PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN YANG DIBOLEHKAN

Perbincangan di atas telah menjelaskan bahawa hukum asal pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah dilarang. Namun demikian, dalam keadaan atau situasi tertentu hukum tersebut  berubah menjadi harus. Keadaan dan situasi yang dimaksudkan ialah darurah, hajat (keperluan), maslahat Syar’ie dan kebiasaan adat setempat.

 1.      Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Darurat

Dalam syarah Sahih Muslim, al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa tidak ada perbezaan hokum berkhalwat antara perempan dan lelaki ajnabi di dalam dan luar solat, kecuali dalam keadaan darurat. Sebagai contoh, situasi di mana seorang perempuan bersendirian dalam satu perjalanan yang mungkin mendedahkannya kepada bahaya. Keadaan ini membolehkan seorang lelaki ajnabi bersama dengannya sekadar untuk membantu dan melindungi daripada bahaya.[15]

             Penjelasan al-Nawawi menyakinkan bahwa pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat, atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan terbabit daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum uni adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram.

 2.      Pergaulan Antara Lelaki Dan Perempuan Kerana Keperluan

Pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi kerana hajat (keperluan) Syar’ie adalah dibolehkan. Antara keperluan-keperluan Syar’ie ialah:

             a.      Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk mengurus muamalah maliyah (urusan harta)

Pergaulan antara lelaki dan perempuan untuk tujuan-tujuan seperti jualbeli dan aktiviti transaksi lain dibolehkan kerana tabiat urusan jenis ini memerlukan berlaku interaksi di antara dua pihak sebelum berlaku akad. Pergaulan semasa  muamalah maliyah (urusan harta) dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat, menundukkan pandangan dan percakapan biasa.[16]

            b.      Pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa bekerja

Semasa melaksanakan kerja, pada kebiasaannya berlaku pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Pergaulan ini dibolehkan dengan syarat-syarat kedua-dua pihak menjaga batas-batas Syarak seperti berpakaian menutup aurat, menundukkan pandangan, percakapan biasa yang tidak mengandungi unsur-unsur fitnah dan tidak berkhalwat. Khalifah `Umar al-Khattab pernah melantik al-Syafi, seorang perempuan sebagai pegawai penguatkuasa di pasar untuk memerhati supaya tidak berlaku penyelewengan.[17] Tabiat penguatkuasa di pasar menuntut pegawai tebabit bergaul dengan peniaga dan pembeli di pasar, lelaki dan perempuan. Perlantikan perempuan bekerja sebgai penguatkuasa menunjukkan pergaulan semasa kerja dibolehkan. Kalau pergaulan ini tidak dibolehkan pasti khalifah `Umar tidak melantik perempuan bekerja sebagai penguatkuasa kerana tabiat kerja tersebut menuntut berlakunya pergaulan.

           c.      Pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa menjadi saksi

Perempuan boleh bergaul dengan lelaki semasa menjadi saksi dalam kes-kes yang ditentukan oleh Syarak bahawa perempuan dibolehkan menjadi saksi seperti perempuan harus menjadi saksi dalam kes-kes harta dan hak-haknya.[18]

            d.      Pergaulan di antara lelaki dna perempuan dalam kenderaan awam

Pergaulan di antara dalam kenderaan dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada Syarak bahawa perempuan keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak Syar’ie seperti berfoya-foya. Ia mestilah bertujuan Syar’ie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya.

 Di samping syarat-syarat di atas, batas-batas Syarak dalam pergaulan lelaki dan perempuan perlulah dijaga. Pakaian mestilah menutup aurat, pandangan ditundukkan dan percakapan berlaku secara biasa dan normal.

  3.      Pergaulan Mengikut Kebiasaan Adat Dalam Majlis-majlis

Pergaulan di antara lelaki dan perempuan dalam majlis seperti kenduri kendara kerana semperna sesuatu dibolehkan dengan syarat menjaga batas-batas Syarak seperti pakaian menutup aurat, tidak tabarruj, menundukkan pandangan, bercakap dengan suara biasa dan normal. Sekiranya batas-batas Syarak tersebut tidak dipatuhi pergaulan di antara lelaki dan perempuan tidak dibolehkan. Walau bagaimanapun, pengasingan tempat antara lelaki dan perempuan semasa makan dan lainnya dalam majlis-majlis ini adalah lebih baik. Ini didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup pintu-pintu fitnah).

 4.      Pergaulan Di Antara Lelaki Perempuan Semasa Belajar

Dalam persoalan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar, sebenarnya tidak ada hadis yang secara langsung menyentuh persoalan ini, apakah ia dilarang atau dibolehkan. Bagaimanapun, ada sesetengah ulama’[19] berpendapat lelaki dan perempuan tidak boleh bergaul semasa belajar.Mereka berhujah dengan hadis Sa’id al-Khudri yang meriwayatkan:

Maksudnya: “Perempuan berkata kepada Nabi s.a.w.: Golongan lelaki mengatasi kami ke atas kamu (orang lelaki sentiasa bersamamu setiap hari mendengar hal-hal agama). Tentukan bagi kami satu hari bersamamu (untuk mendengar dan belajar) lalu baginda menentukan satu hari untuk bertemu(mengajar) golongan perempuan, maka baginda menasihati dan mengajar mereka. Di antara nasihat baginda kepada mereka: “Sesiapa di antara kaum golongan perempuan yang menyerahkan tiga anaknya (untuk perang jihad dan anak itu mati syahid) pasti anak-anak itu menjadi penghalangnya dari apai neraka. Seorang perempuan berkata kalau dua orang? Baginda bersabda: “walau dua orang”.

 Bagi mereka hadis ini menunjukkan bahawa perempuan hendaklah diasingkan tempat belajar daripada lelaki. Sekiranya pergaulan  di antara lelaki dan perempuan dibolehkan, pasti perempuan pada masa itu tidak meminta Nabi s.a.w.menentukan hari khusus bagi mereka untuk mempelajari ilmu. Begitu juga kalau pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar dibolehkan, pasti Nabi s.a.w tidak mengkhususkan hari bagi perempuan.

             Bagaimanapun, setelah hadis ini diteliti, didapati ia tidak jelas menunjukkan lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan semasa belajar. Buktinya, ungkapan “ghalabana ‘alaika al-rijal” (lelaki mengatasi kami ke atasmu). Maksudnya, secara tab’ie kaum lelaki setiap hari bersama Rasulullah s.a.w atas tabiat dan fungsi mereka sebagai lelaki. Oleh itu, mereka dapat mendengar dan mempelajari perkara-perkara berkaitan agama sedangkan perempuan tidak mampu berbuat demikian atas sifat dan fungsi  mereka sebagai wanita. Oleh itu, perempuan meminta Rasulullah s.a.w menentukan hari khusus bagi mereka mempelajari agama. Ertinya, permohonan dibuat bukan kerana tegahan bergaul semasa belajar, tetapi atas dasar tabiat dan fungsi lelaki dan wanita yang berbeza. Ia menatijahkan peluang bagi wanita untuk bersama dengan Rasulullah s.a.w agak terbatas. Oleh itu, pengkhususan hari belajar bagi perempuan tidak menunjukkan pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar dilarang. Jadi, hadis ini bukan hujah bagi pengharaman pergaulan antara lelaki dan wanita semasa belajar. Larangan tersebut mungkin lebih sesuai didasarkan kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah” (menutup pintu-pintu yang boleh mendatangkan fitnah) kerana lelaki dan perempuan, terutama di peringkat awal remaja dan remaja banyak dipengaruhi oleh rangsangan seks. Dengan itu, pergaulan di antara lelaki dan perempuan semasa belajar pada peringkat ini boleh mendorongkan kepada perkara-perkara keburukan lebih banyak daripada kebajikan. Oleh itu, pengasingan tempat belajar di antara lelaki dan perempuan adalah didasarkan kepada “Sadd al-Zari’ah” bukan hadis di atas.

             Selain dari penjelasan perenggan di atas, mereka yang mengatakan pergaulan lelaki dan wanita semasa belajar diharamkan berpendapat bahawa pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa ziarah-menziarahi adalah dibolehkan dengan beberapa syarat. Mungkin sukar difahami kenapa pergaulan semasa ziarah dibolehkan dan pergaulan semasa belajar diharamkan, sedang suasana belajar lebih jauh daripada fitnah berbanding dengan suasana ziarah. Mungkin yang membezakan hanyalah ziarah dilakukan sekali sekala tetapi belajar mungkin lebih kerap, malah dalam konteks pendidikan formal, menengah atau tinggi ia berlaku setiap hari. Adapun, tegahan ke atasnya bukan dirujukkan kepada nas, tetapi kepada kaedah “Sadd al-Zari’ah”

 


[1] Ibn Manzur, Lisan al-Arab, Jilid 9, hlm. 120-121.

[2] Al- `Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, Jilid 4, hlm. 72, 77.

[3] Al-Nawawi, Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, Jilid 9, hlm. 109.

[4] Abd al-Karim Zaydan (Dr.), al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, jilid 3, hlm. 423.

[5] Al-Nawawai, op.cit., hlm. 109.

[6] Ibid, Jilid 4, hlm. 159-161.

[7] Ibid.

[8] Ibid, hlm. 163.

[9] Ibid., hlm. 159.

[10] Abd al-Razzaq al-San`ani, al-Musannaf, Jilid 2, hlm. 407.

 [11] Al-Asqalani, op.cit., Jilid 6.hlm. 75-76.

[12] Ibid.

[13] Ibn Qudamah, al-Mughni, Jilid 2, hlm. 341; Lihat juga al-Nawawi, al-majmu’. Jilid 4, hlm. 365.

[14] Al-Kasani, Bada’i al-Sana’i, Jilid 1, hlm. 259.

[15] Al-Nawawi, op.cit., hlm. 109.

[16] Abd Karim Zaydan (Dr.), op.cit., Jilid3, hlm. 276; Ibn Qudamah, op.cit., Jilid 6, hlm. 588; al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj., JIlid 6,hlm. 154.

[17] Ibn Hazm, al-Muhalla, Jilid 9, hlm. 429.

[18] Abd Karim Zaydan (Dr.), op.cit., Jilid3, hlm. 427.

[19] Ibid., hlm. 431.





HURAIAN AL-QURAN TENTANG NUSYUZ SUAMI DAN ISTERI: PENGERTIAN DAN PENYELESAIAN

25 07 2009

Oleh :  Ustaz Alias Othman 

1. Beberapa Pengantar 

Saya mengemukakan beberapa pengantar sebagai landasan kepada perbincangan bagi tujuan memudahkan perbincangan, mengelakkan keraguan dan salah tanggap. 

1.1. Istilah Nusyuz Hanya Kepada Isteri.  

Sekalipun nusyuz suami sudah dirakamkan dalam Quran dan perkataan nusyuz telah lama dikenali dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia namun istilah ini masih digunakan  khusus merujuk kepada isteri yang ingkar   dan derhaka kepada suami. Istilah ini tidak digunapakai kepada suami. Malah kalau ada orang mengatakan ‘suami nusyuz’, dia dianggap ganjil. Keadaan ini bukan berhenti di situ sahaja, malah ia berlanjutan kepada persoalan amalan, di mana hanya wanita sahaja yang dianggap nusyuz, lelaki tidak dianggap nusyuz. Akibatnya banyak kezaliman berlaku ke atas isteri dan ramai suami yang terlepas daripada beban atau hukuman yang sepatutnya mereka tanggung.  

Kertas ini berusaha merungkai isu ini dan cuba meyakinkan masyarakat, terutama para suami dan isteri bahawa nusyuz bukan sahaja berlaku oleh isteri, tetapi juga berlaku oleh suami. Dengan itu diharapkan semua pihak dapat bertindak  sewajarnya bagi mendapatkan keadilan kepada semua pihak.  

Penulis berusaha sedaya mampu mempastikan semua pandangan dalam kertas ini dirujuk kepada kitab-kitab tafsir dan penulisan fiqh. Paling kurang ia adalah pandangan yang dirumuskan daripada beberapa penulisan, bukan pandangan peribadi penulis sendiri.  

1.2. Seimbas tentang Sistem Keluarga Islam  

Sistem Kekeluargaan Islam, satu sistem yang menyusun institusi keluarga, menjelaskan semua urusan di dalamnya, menentu dan mengagihkan bidang tugas, menentukan tanggungjawab anggota keluarga, menjelaskan prosidur-prosidur yang mesti dipatuhi dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.  

Allah yang mencipta manusia telah mencipta bersamanya fitrah ingin berpasangan seperti makhluk-makhluk lain ciptaan Allah:

ومن كل شىء خلقنا زوجين لعلكم تذكرون – الزاريات 49

Maksud:

 “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah).”

زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين – آل  عمران 14

Maksud:

“ Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia  cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan, anak-anak..”

Kemudian Allah menjadikan pasangan manusia terdiri daripada dua bahagian yang dicipta daripada satu jasad, iaitu jasad Adam as.

يا أيها الناس اتقوا ربكم الذى خلقكم من نفس واحدة وخلق منها زوجها – النساء 1

Maksud: 

Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangan-nya (Hawa) dari (diri)nya;”

Seterusnya Allah mahu pertemuan pasangan dari jasad Adam ini akan membawa kepada ketenangan jiwa, ketenangan saraf, kedamaian ruh dan kerehatan jasad.

ومن آياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة – الروم 21

Maksud:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan  pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri , agar kamu cenderung dan merasa tenteram  kepadanya , dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang.”

Seterusnya pasangan ini akan saling menjadi perisai yang saling melindungi antara semua anggota keluarga. Ia digambarkan dengan pakaian yang melindungi jasad dan melindungi keluarga daripada azab neraka.  

هن لباس لكم وأنتم لباس لهن –البقرة187 

Maksud:

“ Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu adalah pakaian bagi mereka.”

يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة – التحريم 6

Maksud:

“Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”

Akhirnya pasangan ini menjadi institusi yang akan mengembangbiakkan zuriat dan keturunan Adam, mendidik dan membangun insan saleh dan musleh yang bertindak menjadi khalifah Allah. Ia berperanan memakmurkan bumi Allah untuk manfaat makhluk Allah yang bernama manusia.  

نساؤكم حرث لكم فأتوا حرثكم أنى شئتم وقدموا لأنفسكم واتقوا الله – البقرة 223

  Maksud:

“Isteri-isterimu  adalah lading bagimu, maka datangilah ladangmu itu kapan saja dengan cara yang kamu sukai. Dan utamakanlah (yang baik) untuk dirimu. Bertaqwalah kepada Allah”

كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو يمجسانه أم ينصرانه

“Setiap anak dilahirkan dalam keadan fitrah (suci) Ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani”.  

Sebagai manusia pasangan anak Adam ini mendapat kemuliaan dan kedudukan yang sama rata di sisi Allah. Dari kemuliaan dan kesamarataan antara pasangan  ini lahirlah satu doktrin hidup yang memberi penghormatan kepada wanita, persamaan hak dengan lelaki dari semua aspek: pahala, dosa, upah, hak milik, hak mewarisi harta, hak kebebasan peribadi madani dan hak-hak lainnya.  

Pertemuan pasangan anak Adam ini sangat penting dalam membentuk sebuah institusi keluarga. Ada dua tanggungjawab berat yang mesti dipikul institusi ini.  

Pertama; mewujudkan suasana ketenangan dan kedamaian jiwa seisi keluarga; sakinah, mawaddah dan rahmah, di samping menjadi perisai, pelindung dan pengawas..  

Kedua; membekalkan masyarakat keupayaan untuk terus berkembang biak dengan cara yang sesuai dan setaraf dengan darjat manusia di samping mengangkat darjat manusia ke tahap kemuliaan paling maksima. Semua ini telah diperincikan dalam satu sistem yang lengkap; Sistem Kekeluargan Islam. Konsep kekeluargaan ini mengarahkan semua pihak kembali kepada hukum Allah, bukan hukum adat, budaya, nafsu, tindakbalas emosi atau kecenderungan peribadi.

1.3. Talak hak suami khulu` hak isteri.  

Sebagai tindakan menyediakan ubat sebelum sakit Sistem Keluarga Islam telah memberikan hak talak kepada suami sebagai penyelesaian terakhir kepada krisis dalam keluarga atau kerana dia tidak lagi mahu meneruskan kehidupan berumahtangga dengan isterinya, atas apa sebab juapun. Namun jika dia menceraikan isteri bukan sebab nusyuz dia wajib membayar mut`ah perceraian. Untuk tujuan yang sama isteri diberikan hak khulu` atau tebus talak bagi membebaskan dirinya daripada suami jika dia tidak lagi mahu meneruskan kehidupan berumahtangga dengan suaminya atas apa sebab juapun.  

1.4. Qiwamah Dan Nusyuz.  

Isu qiwamah suami ke atas isteri sangat berhubung rapat dengan nusyuz isterti. Ini kerana Islam telah memberikan hak qiwamah kepada lelaki, termasuk suami.  

الرجال قوامون على النساء بما فضل الله بعضهم على بعض وبما انفقوا من أموالهم فالصالحات قانتات حافظات للغيب بماحفظ الله      -النساء 34 

Maksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) dari sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri dibelakang (pengetahuan) suaminya oleh kerana Allah telah memelihara ( mereka)”.  

Qiwamah dalam arti kata kepimpinan perlu kepada kepatuhan dan ketaatan. Tiada erti pada qiwamah jika tiada ketaatan. Dalam konteks keluarga suami yang diberi hak qiwamah mestilah mendapat ketaatan daripada seisi keluarga, terutama isteri. Jika isteri ingkar, di sinilah timbulnya isu nusyuz. Ketaatan kepada suami bukan atas dasar ketinggian darjat dan kedudukan suami berbanding isteri, tetapi atas dasar qiwamah.  

Berbagai pendapat dikemukakan cendekiawan Islam mengenai maksud qiwamah dalam ayat ini. Semua penjelasan ini menyimpulkan qiwamah bukan berdasarkan kuasa, ketinggian darjat dan kedudukan lelaki berbanding wanita, tetapi atas dasar potensi, tabiat semulajadi, tanggungjawab, ehsan dan timbangrasa.  

Menurut al-Maududi, ayat ini dengan terus terang memberikan qiwamah kepada lelaki di samping menyatakan dua sifat istimewa wanita salihah: taat قانتات  dan memelihara rahsia suami حافظات للغيب . Menurut beliau qiwamah ini tidak terbatas kepada qiwamah dalam keluarga sahaja, malah termasuk qiwamah ke atas siasah dan politik negara. Quran tidak membataskan qiwamah ini ke atas wanita dalam keluarga sahaja. Quran tidak menyebutkan perkataan ‘rumah’ (البيوت) dalam ayat ini. (Maududi, Tadwin al-Quran 70 – 71)  

Menurut al-Zamakhsyari, lelaki memiliki qiwamah ke atas wanita kerana kelebihan yang diberikan Allah. Menurut beliau ayat ini menjadi dalil bahawa hak ke atas wilayah (kuasa memimpin dan melindungi) hanya boleh didapati melalui kelebihan, bukan melalui kemenangan, kuasa dan paksaan. (al-Kassyaf:1:266)  

Menurut al-Qurtubi, di kalangan lelaki ada para hakim, pemerintah dan mereka yang berperang. Semua itu bukan bagi wanita.(op.cit, 5:168)  

Tentang kelebihan lelaki, selain ayat di atas ada ayat-ayat lain yang menjelaskan kelebihan ini, antaranya firman Allah  

قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة – التوبة 6

Maksud:

“Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu”

Ayat ini langsung dan terus terang memerintahkan lelaki melindungi keluarga daripada siksa neraka.

ولهن مثل الذى عليهن بالمعروف وللرجال عليهن درجة – البقرة 228

Maksud:

“Dan mereka (para perempuan) mempunyai hak seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang patut. Tetapi para suami mempunyai kelebihan  di atas mereka”

Menurut al-Tabari, maksud darjat yang Allah berikan kepada lelaki ke atas wanita ialah Allah memberi kelebihan kepada mereka dalam pusaka, jihad dan yang seumpamanya. Al-Tabari menukilkan bahawa Zaid bin Aslam menjelaskan maksud ‘darjat’ dalam ayat ini ialah ‘imarah’. Dalam versi lain beliau menyatakan ayat ini bermaksud: wanita mentaati lelaki, bukan lelaki mentaati wanita. (al-Tabari, Tafsier al-Tabari 4:534)  

ولا تتمنوا ما فضل الله به بعضكم على بعض للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن

 النساء 32 - 

Maksud;

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurnia yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. (Kerana) bagi laki-laki ada  bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi perepuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan”

Menurut Dr. Abdul Wahab al-Syisyani (Huquq al-Insan Wa Huriyatihi al-Asasiyah 69) ayat ini menunjukkan kelebihan lelaki adalah berdasarkan potensi semulajadi dan pembahagian tugas antara lelaki dan wanita.  

Oleh kerana suami diberikan qiwamah dalam keluarga maka apa sahaja krisis yang berlaku dalam keluarga orang pertama dipersoalkan ialah suami, kerana dia yang memimpin dan mengendalikan keluarganya, selepas itu barulah isteri dan isi keluarga yang lain. Inilah mahar qiwamah dan kelebihan yang diberikan  Allah kepadanya.  

Jelas bahawa qiwamah dan kelebihan lelaki dalam konsep yang dikemukakan adalah ketentuan dari Allah kepada manusia atas hikmat yang hanya Dia mengetahuinya. Oleh itu mempertikaikan qiwamah dan kelebihan ketentuan Ilahi ini adalah suatu yang tidak normal kepada pegangan iman seorang muslim.  

2. Asal Perkataan Nusyuz.  

Istilah nusyuz dipinjam dari Bahasa Arab. Perkataan asalnya ialah al-nasyzu النشز bermaksud tempat yang tinggi. Perkataan nusyuz نشوز  bererti berada di tempat yang tinggi. Isteri yang nusyuz ialah isteri yang ingkar kepada suaminya dan membangkitkan kemarahannya. Nusyuz suami apabila dia memukul isterinya atau bersikap dingin dan acuh tak acuh terhadapnya. ( Fairuz al-Abadi: Qamus al-Muhit 678) .  

Kesesuaian pengertian ini dengan nusyuz isteri atau suami ialah: isteri atau suami yang nusyuz meletakkan dirinya di tempat yang tinggi dengan ingkar kepada perintah Allah yang diwajibkan ke atasnya terhadap suami atau isterinya. Ini akan dapat dilihat nanti selepas maksud nusyuz isteri atau suami itu dijelaskan.  

3. Nas Quran Berkaitan Nusyuz.  

Ada dua nas Quran yang secara langsung menyebutkan nusyuz isteri dan suami. Pertama menyatakan nusyuz isteri. Kedua menyatakan nusyuz suami.  

3.1. Nusyuz isteri.

واللتى تخافون نشوزهن فعظوهن واهجروهن فى المضاجع واضربوهن فإن أطعنكم فلا تبغوا عليهن سبيلا  - النساء  34   

Maksud:

“Dan wanita-wanita yang kamu bimbang nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya”.  

3.2. Nusyuz suami.

وإن امرأة خافت من بعلها نشوزا أو اعراضا فلا جناح عليهما أن يصلحا بينهما صلحا والصلح خير

 النساء 128 -

Maksud:

“Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap  tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)”    

4. Nusyuz Isteri. 

Nusyuz isteri disebut dalam ayat 34 surah al-Nisa’ di atas. Nusyuz dalam ayat ini bererti derhaka atau ingkar. Oleh itu maksud ayat ini ialah: sekiranya kamu bimbang kederhakaan dan sikap meninggi diri mereka (isteri) daripada mematuhi apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka, iaitu mentaati suami, maka ……”. ( Al-Qurtubi: al-Jami`e Li Ahkam al-Quran 5:170)  

Nusyuz ialah kederhakaan dan meninggi diri wanita dari mematuhi apa yang diwajibkan Allah ke atas mereka, seperti taat kepada suami. (ibid 5:170). Isteri menimbulkan kemarahan suami (ibid 5:71)  

Bagi Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili nusyuz isteri ialah kederhakaan wanita terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling membenci antara keduanya dan keluar rumah tanpa izin suami. (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu 7:338) . Isteri meninggalkan rumah dengan tiada sebab syari`e yang membolehkan atau menghalang suaminya memasuki rumahnya sebelum suami memintanya berpindah ke rumah lain (Zuhaili: ibid 7:790, Dr. Abd Karim Zaidan, al-Mufassal Fi ahkam al-Marah 7:161)  

Perempuan nusyuz ialah perempuan yang meninggi diri daripada suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhkan diri daripadanya, mengelak diri dari suaminya, menyebabkan suaminya marah. (Dr, Muhammad `Uqlah: Nizam al-Usrah Fi al-Islam 2:179. al-Sayuti: al-Dur al-Mantsur Fi Tafsir al-Ma’tsur 2:521. Ibn Katsir: Tafsir al-Quran al-Azim 1: 492. Abd. Rasyid Reda, Tafsir al-Manar 3:72-73) . Pandang rendah terhadap suami, tidak mentaati perintahnya. (ibid).  

4.1. Bila isteri dianggap nusyuz.

Isteri dianggap nusyuz apabila ada tanda-tanda nusyuz. Nusyuz isteri ditandai oleh dua perkara. Pertama, melalui perbuatan dengan menjauhkan diri, bermasam muka dan enggan ketika dipanggil. Semua ini berlaku setelah sebelumnya dia bersikap mesra. Kedua melalui perkataan seperti berinteraksi dengan suami dengan perkataan yang kasar, ia berlaku setelah sebelumnya dia bercakap lembut. (Prof. Dr. Wahbat al-Zuhaili: op.cit 7:338).

Huraian-huraian ini cukup untuk memahamkan kita maksud nusyuz isteri.  

4.2. Isteri salihah tidak nusyuz.  

Sekiranya isteri itu tergulung dalam lingkungan wanita salihah dia tidak akan nusyuz. Ayat di atas menyatakan wanita salihah ialah yang taat قانتات  kepada Allah, memelihara diri dengan tidak berlaku curang, menjaga rahsia dan harta suaminya حافظات للغيب , kerana Allah telah memelihara mereka. ( al-Nisa’ :34)  

4.3. Tindakan suami jika isteri nusyuz.  

Jika isteri nusyuz suami mestilah melakukan tindakan-tindakan berikut: bersabar menghadapi karenah isteri, memberi nasihat, pisahkan tempat tidur, memukul.  Jika tidak berjaya krisis itu dirujuk kepada hakam untuk mencari penyelesaian. Jika ini juga tidak berhasil pilihan terakhir suami, jika dia mahu,  ialah menceraikan isterinya dengan talak satu. ( al-Nisa’  :34)

 

Perlu diingat sebelum menasihati isteri, suami sepatutnya terlebih dahulu mengkoreksi dan melakukan muhasabah diri, mencari di mana kelemahan dan kesalahan diri. Inilah yang adil bagi isteri dan bijak bagi seorang yang diberikan qiwamah dan kelebihan oleh Allah.  

5. Nusyuz Suami.  

Nusyuz suami disebut dalam ayat 128 surah al-Nisa’ yang telah dinukilkan di atas.  

Berbagai-bagai versi riwayat yang menjelaskan latarbelakang ayat ini diturunkan, antara lain ialah kebimbangan Saudah Binti Zam`ah dia akan diceraikan Rasulullah saw, lantas dia berkata kepada Baginda saw: “janganlah ceraikan saya, kekalkanlah saya (sebagai isteri). Dan berikanlah satu hari giliran saya kepada `Aisyah”. Rasulullah saw menerima tawaran tersebut lalu ayat ini diturunkan. (al-Qurtubi, op.cit 5:402).  

Menurut Ibn Abi Malikah ayat ini menolak pandangan sesetengah orang bahawa apabila seorang lelaki telah menghabiskan usia muda seorang wanita dan setelah tua lelaki terbabit tidak lagi berhak menggantikannya dengan wanita lain (Ibn `Arabi, Ahkam al-Quran.1:504, Qurtubi, op.cit 5:404). Beliau melihat isu ini positif kerana Allah telah memberi satu jalan keluar di saat tiada pilihan bagi lelaki yang tidak lagi mahu mengekalkan status isterinya sebagai isteri.  

Sewaktu ditanya mengenai maksud ayat ini Ali karramalLahu wajhah berkata: seorang lelaki punya perempuan di bawah tanggungannya (isteri), dia tidak lagi tertarik kepadanya oleh kerana susuk tubuhnya, usianya yang telah tua, akhlaknya yang buruk atau kecacatannya. Wanita itu tidak mahu dia diceraikan, jika dia memberikan kepada suaminya sesuatu, harta atau hari gilirannya dia boleh melakukannya”. (Said Hawa, al-Asas Fi al-Tafsir 2:1195).  

Dalam ayat ini terdapat dua istilah: nusyuz نشوز  dan i`erad اعراض . Nusyuz bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri, tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya. `Ierad kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain. (Said Hawa, ibid 2:1194)  

Dalam mentafsirkan ayat ini al-Qurtubi menjelaskan bahawa sekiranya isteri berpendapat suaminya akan bersikap nusyuz (ingkar dan menjauhkan diri) atau i`eradh (tidak bertegur sapa dan tidak bermesra) dia bolehlah menawarkan suluh kepada suaminya. Suluh boleh berlaku melalui tawaran isteri dengan menggugurkan sebahagian haknya sebagai ganti daripada dia diceraikan. Suluh juga berlaku melalui tawaran oleh suami untuk memberikan kepada isterinya kadar tertentu harta sebagai ganti dia melebihkan isteri lain (al-Qurtubi, op.cit 5:423-424)  

Isunya, jika isteri menawarkan suluh dan diterima suami atau suami menawarkan suluh dan diterima isteri. Namun jika isteri tidak menawarkan suluh atau isteri tidak menerima tawaran suluh suami dan isteri juga tidak nusyuz, dalam keadaan ini suami wajib berlaku adil dan memberikan semua hak isteri dan melaksanakan semua kewajipannya sebagai suami.  

Dari perbincangan ini dapat dirumuskan bahawa suami juga melakukan nusyuz. Suami dianggap nusyuz apabila dia cuai dalam melaksanakan kewajipan rumahtangga. Menurut Muhammad Qutb dan Dr. Muhammad `Uqlah kalau isteri dianggap telah nusyuz apabila dia derhaka kepada suami, tidak menunaikan kewajipan dan keluar rumah tanpa izin suami maka suami juga boleh dianggap telah nusyuz apabila dia enggan memberi nafkah kepada isteri. (Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 128 dan Dr. Muhammad `Uqlah, Nizam al-Usrah Fi al-Islam 2:184)  

Dr. Mustafa al-Khin menganggap suami nusyuz apabila pengabaian dan keengganan berlaku di pihak suami dengan dia tidak menunaikan giliran, tidak memberi nafkah, bertindak kasar dengan perkataan atau perbuatan. (Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji2;105).  

Penjelasan-penjelasan ini cukup untuk meyakinkan kita bahawa suami juga berlaku nusyuz dan memahamkan kita apa maksud nusyuz suami.

 

5.1. Bila suami dianggap nusyuz.  

Suami nusyuz bolehlah ditakrifkan sebagai: suami yang enggan menunaikan hak spiritual, material atau bertindak kasar terhadap isteri. Hak spiritual isteri ialah komunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual, memberi pendidikan agama, dicemburui dan adil antara para isteri, tidak dihina dan dikasari. Hak material isteri ialah maskahwin, nafkah dan mut`ah jika berlaku perceraian tanpa nusyuz isteri. (al-Qurtubi, op.cit 5:422-324, Dr. Muhamad `Uqlah, op.cit 2:84, Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 124).  

5.2. Tindakan isteri jika suami nusyuz.  

Jika suami nusyuz isteri mestilah bersabar. Memperingatkannya tentang kewajipan husnu al-mu`asyarah seperti disedut dalam ayat 18 surah al-Nisa’ وعاشروهن بالمعروف . Memperingatkannya hadis Rasulullah yang menyatakan lelaki yang paling baik ialah suami yang paling baik terhadap isterinya خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهله. Memperingatkannya tentang akibat kezalimannya terhadap isteri.  

Jika ini tidak berjaya isteri berhak membawa kesnya kepada kadi untuk dia mendapatkan semua haknya, kerana kadi dilantik untuk mengembalikan hak kepada yang empunya hak dan kerana isteri tidak berdaya mendapatkan haknya tanpa kuasa kadi.  

Kadi bertanggungjawab memaksanya menyempurnakan hak isteri dan menghentikan kezalimannya.  

Jika ini juga tidak berhasil dan suami masih meneruskan nusyuznya dan bertindak memukul dan memaki hamun kadi hendaklah menjatuhkan hukuman taazir ke atasnya.  

Jika ini juga tidak berhasil hakam hendaklah dilantik bagi berusaha melakukan suluh. Jika usaha suluh juga gagal, penyelesaian terakhir ialah cerai.  

6. Langkah Penyelesaian.  

1.     Meningkatkan pengetahuan semua pihak, terutama suami isteri mengenai isu nyusyuz.

2.     Membangkitkan kesedaran tentang hak imbalbalik antara suami dan isteri kesan dari perbuatan nusyuz.

3.     Untuk tujuan 1 dan 2 perbincangan di atas hendaklah diperincikan dan diperluaskan daerah perbincangannya kepada awam. Institusi-institusi kerajaan berkaitan Islam yang mempunyai kemudahan infrastruktur dan kewangan mestilah membantu NGO dalam melaksanakan usaha-usaha ini.

4.     Jika belum ada, undang-undang yang membolehkan suami nusyuz dikenakan hukuman taazir yang setimpal mestilah digubal.  

7. Penutup.  

1.   Penulisan-penulisan fiqh klasik tidak menggunakan istilah nusyuz bagi maksud suami yang tidak melaksanakan kewajipan rumahtangga dan mengabaikan hak isteri, namun persoalannya dibincang semasa membincangkan hak dan kewajipan imbalbalik suami isteri.

2.   Istilah nusyuz suami banyak dibincang dalam kitab-kitab tafsir sewaktu menghuraikan ayat 128 surah al-Nisa’. Ia juga dibincang dalam penulisan fiqh terkini, terutama penulisan berkaitan Sistem Kekeluargaan Islam

3.   Saya akui kertas ini banyak kekurangannya, namun inilah yang dapat saya kemukakan sesuai dengan tempoh yang ada bagi saya menyiapkannya.

4.   Saya serahkan kertas ini kepada pembaca untuk pembetulan dan penambahbaikan dalam usaha mencari keadilan dan kesentosaan keluarga.

 

<<<()>>>





Wanita Islam Menunaikan Haji / Umrah Sunat Tanpa Mahram

26 05 2009

Oleh : Ustazah Maznah Daud

Pendahuluan

Islam adalah agama sejahtera yang membawa rahmat dan keadilan kepada seluruh umat manusia, khususnya mereka yang beriman.

Islam sangat menitik beratkan keselamatan dan kesejahteraan umatnya dalam semua aspek; nyawa, harta dan maruah.

Antara bukti yang menunjukkan Islam mementingkan keselamatan umatnya ialah larangan terhadap kaum wanita bermusafir bersendirian tanpa ditemani mahram atau suami. Setengah kalangan menganggap larangan ini merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan bukti yang menunjukkan Islam memandang rendah terhadap kaum wanita serta mengongkong kebebasan mereka.

Namun hakikatnya mereka tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami bahawa di sepanjang sejarah kemanusiaan, hatta dalam zaman yang dikatakan maju dan bertamadun sekarang wanita tidak pernah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Wanita sering terdedah kepada pelbagai ekploitasi sampai ke tahap meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan sejati atas nama kemajuan, persamaan dan sebagainya. Hanya Islam yang benar-benar mengangkat darjat wanita dan meletakkan diri mereka di tempat yang mulia sama dengan lelaki.

Wanita dan Ibadah

Ulamak bersepakat bahawa wanita ditaklifkan hukum-hukum Syara’ sama seperti lelaki sama ada yang berekaitan dengan hukum-hukum akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

”Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (al-Ahzab 33:35)

Walaupun begitu terdapat sedikit perbezaan dari aspek teknikal dalam pelaksanaan sesuatu ibadah antara lelaki dan wanita.

Umpamanya menunaikan fardhu haji adalah wajib ke atas setiap umat Islam yang berkuasa seperti dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:

”….. dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya …. ” (Aali ’Imran 3:97)

Jumhur berpendapat maksud berkuasa bagi lelaki ialah mempunyai kenderaan (sekiranya tempat tinggal lebih dari dua marhalah), bekalan, aman perjalanan, sihat tubuh badan dan tiada kesuntukan waktu. Manakala wanita tidak wajib walaupun memiliki semua di atas sekiranya tiada yang menamani sama ada suami, mahram atau beberapa orang wanita yang thiqah.(Kitab al-Idhah, m.s.96-97)

Menunaikan Haji / Umrah Tanpa Mahram

Telah dinyatakan bahawa menurut kebanyakan ulamak wanita tidak wajib menunaikan haji atau umrah sekiranya tidak ada teman sama ada suami, mahram atau beberapa orang wanita yang thiqah. Di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, penal penulisnya berkata:

”Para ilmuan mengatakan, seorang wanita yang tiada mahram tidak wajib mengerjakan haji. Sekiranya dia meninggal dunia tidak dihajikan untuknya daripada harta peninggalannya kerana dia termasuk dalam golongan mereka yang tidak mempunyai kemampuan (istito’ah)”. (Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, m.s.369)

Pendapat ini disandarkan kepada beberapa Hadis yang bermaksud:

  1. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir dua hari kecuali bersama dengan suami atau mahramnya”. Riwayat al-Bukhari dari Abi Sa’eid.
  2. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir tiga hari kecuali bersamanya mahram”.  Muttafaq ’Alaih dari Ibn Umar RA.
  3. ”Tidak halal bagi wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat musafir tiga hari tiga malam kecuali bersamanya mahram”. Muslim dari Ibn Umar.
  4. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir kecuali bersamanya mahram”.  Lalu seorang lelaki berkata: ”Ya Rasulullah! Saya hendak keluar (berjihad) bersama angkatan tentera sekian dan sekian, sedangkan isteri saya hendak menunaikan haji?” Baginda menjawab: ”Keluarlah bersama dengannya (isterimu)”. Muttafaq ’Alaih dari Ibn ’Abbas.

Nas-nas di atas jelas menunjukkan larangan ke atas wanita musafir tanpa suami atau mahram.

Namun ulamak tidak sekata dalam memahami Hadis-hadis di atas. Sebahagian mereka mengambil maknanya yang zahir. Manakala sebahagian lain melihat kepada sebab dan hikmah larangan itu.

Mereka yang mengambil maknanya yang zahir seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah berpendapat wajib ada suami atau mahram. Al- Hanafiyyah juga berpendapat wajib ada suami atau mahram kecuali jika jarak tempat tinggal wanita itu kurang dari tiga marhalah. (’Atiyyah Saqar, jzk 2, m.s.134)

Mereka yang melihat kepada sebab atau illah larangan, antaranya Imam asy-Syafi’e sebagaimana disebut oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim, tidak mensyaratkan suami atau mahram. Yang penting perjalanan itu selamat. Maka harus bagi wanita menunaikan haji sekiranya ditemani beberapa orang wanita yang thiqat kerana dalam hal ini boleh dikira selamat.

Begitu juga Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Ahmad, tidak mensyaratkan ada suami atau mahram untuk menunaikan haji fardhu.

Antara Musafir Wajib dan Musafir Sunat.

Pandangan yang diutarakan di atas adalah berkaitan dengan haji wajib. Berkenaan haji sunat dan musafir lain yang tidak wajib, pandangan mereka juga berbeza.

An-Nawawi berkata: Adapun haji sunat, safar ziarah, tijarah dan lain-lain yang tidak wajib, maka setengah mereka berkata harus keluar bersama kumpulan wanita yang thiqat seperti haji wajib. Jumhur berkata tidak harus kecuali bersama suami atau mahram dan inilah yang sahih.(Al-Majmuk, jzk 7, m.s.62)

Dalil jumhur adalah nas-nas yang telah dikemukakan di atas.

Para ilmuan masa kini seperti al-Ustaz Dr. Hasan Ahmad al-Kabir, Dekan Kulliyyah Bahasa Arab Universiti al-Azhar Zaqaziq, Syaikh Ali Jumah, Mufti al-Dayyar al-Misriyyah, Atiyyah Saqar cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus.

Dalil mereka yang mengatakan harus adalah:

  1. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada ’Aadi bin Hatim bahawa Rasulullah SAW menceritakan kepadanya mengenai perkembangan Islam pada masa akan datang dan tertegaknya panji-panji Islam di seluruh pelusuk bumi. Antara maksud ungkapan baginda dalam Hadis tersebut: ”… hampir-hampir seorang wanita dari al-Hirah di Iraq keluar menuju Baitillah tanpa suami bersama dengannya dan dia tidak takut melainkan Allah…” Hadis ini bukan sekadar suatu perkhabaran mengenai keluasan penyebaran Islam, sebaliknya ia menunjukkan keharusan wanita musafir tanpa suami. (Fatawa al-Mu’asarah, m.s.431)
  2. Umar RA telah mengizinkan isteri-isteri Rasulullah SAW pergi menunaikan haji bersama Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman bin Auf RA sedangkan mereka berdua bukan mahram kepada kesemua isteri-isteri Rasulullah SAW. Keizinan itu tidak pula dibantah oleh Uthman dan Abdul Rahman juga para sahabat yang lain. Ini boleh dikira sebagai ijmak di kalangan mereka.
  3. Hikmah di sebalik pensyaratan wanita ditemani suami atau mahram ialah memastikan keselamatannya di dalam perjalanan dan memudahkannya melaksanakan segala urusan tanpa gangguan dan pergaulan yang tiada batasan. Kini semua masalah itu boleh diatasi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, sama ada dari segi pengangkutan, penempatan serta keperluan-keperluan asas dan sampingan di sepanjang perjalanan serta masa melaksanakan ibadah.
  4. Hadis-hadis yang melarang wanita musafir tanpa suami atau mahram ditakwilkan untuk zaman nubuwwah di mana kaum musyrikin menguasai Jazirah dan sentiasa mengintai peluang untuk melakukan sebarang tindakan yang mengancam keselamatan umat Islam. Dalam zaman sekarang, harus wanita musafir bersama taman yang amanah dan boleh dipercayai dengan izin suaminya sekiranya perjalanan itu aman serta keadaan negeri yang dituju itu aman. Keharusan ini tidak tertentu bagi haji sahaja, malah harus juga untuk tujuan belajar atau lain-lain tujuan yang tidak dilarang oleh Syara’. (Syaikh Ali Jum’ah, m.s.267)

Pandangan di atas juga bersesuaian dengan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Rabiul Awwal 1422 bersamaan 11 Jun 2001. Fatwa tersebut berbunyi: ”Diharuskan musafir bagi wanita untuk tujuan menunaikan haji sunat atau umrah sunat tanpa suami atau mahram dengan syarat-syarat yang ketat dan disiplin-disiplin tertentu”

Jawatankuasa telah menyenaraikan 17 syarat yang mesti dipatuhi. (Lihat Lampiran)

Kesimpulan

Setelah diteliti pandangan para ulamak dahulu dan kini, didapati mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza sama ada wajib atau tidak wanita diiringi suami atau mahram atau boleh diganti dengan teman yang boleh dipercayai ketika musafir, sama ada musafir wajib atau bukan wajib. Perbezaan sudut pandangan ini berlaku hatta di kalangan ulamak mazhab yang sama. Malah ada di kalangan mereka seperti Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah dan lain-lain tidak mewajibkan diiringi teman langsung sekiranya perjalanan itu aman. Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, pengarangnya berkata: Harus bagi perempuan mengerjakan haji atau umrah Islam bersama perempuan-perempuan thiqat. Bahkan mengikut qaul yang sahih, harus walaupun dengan seorang perempuan thiqah. Pada satu pandangan yang lain, harus ia mengerjakan haji atau umrah fardhu walaupun seorang diri sahaja sekiranya aman dirinya daripada fitnah. (Mughni al-Muhtaj, j.2, m.s.465)

Imam asy-Syafie sendiri tidak berpegang kepada zahir nas seperti yang diriwayatkan oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim (jld 9, m.s.104): tidak disyaratkan mahram, bahkan disyaratkan keamanan dirinya.

Lantaran itu kita dapati beberapa orang dari kalangan ulamak zaman kini mertarjihkan wajib haji ke atas wanita dan harus bagi mereka musafir jika keselamatan dan kemudahan terjamin dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan cara ditemani suami, mahram, kawan yang amanah, pengendalian pihak berwajib atau lain-lain. Isteri-isteri Rasulullah SAW telah menunaikan haji dengan keizinan Khalifah Umar bin al-Khattab RA.  Umar telah mengutus Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman Auf sebagai pengiring mereka. Haji yang ditunaikan oleh Ummahat al-Mukminin RA itu adalah haji sunat kerana mereka telahpun menunaikan haji wajib bersama Rasulullah SAW. (’Atiyyah Saqar, j.2, m.s.134-135)

 

Rujukan:

  1. Mughni al-Muhtaj
  2. Al-Majmuk, Abi Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf an-Nawawi
  3. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaili
  4. Fatawa ‘Asriyyah, Syaikh Ali Jum’ah
  5. Fatawa al-Mu’asarah, Dr. Hasan Ahmad al-Kabir
  6. Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Syaikh ‘Atiyyah Saqar
  7. Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, Muhammad Ibrahim asy-Syaikh dan lain-lain..
  8. Fatwa-Fatwa Negeri Johor, jld 3, hal.62-68




Hukum Bertepuk Tangan: Huraian berasaskan Nas Syarak dan Realiti Umat Islam Masa Kini

5 04 2009

Oleh

Prof.Madya Dr. Raihanah Hj Azahari

Jabatan Fiqh dan Usul

Akademi Pengajian Islam

Universiti Malaya

Pendahuluan

Amalan bertepuk tangan merupakan satu kebiasaan yang sering berlaku dalam budaya masyarakat Malaysia, samaada dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi, dalam suasana riang atau bersemangat, bahkan kadang-kadang ia lahir secara spontan hasil kelaziman yang dilakukan tanpa sebarang tujuan-tujuan tertentu seperti memberi penghormatan, untuk menunjukkan kegembiraan atau sebagai rangsangan atas beberapa perkara yang dilakukan.

Namun kebiasaan ini akhirnya menjadi semakin ditinggalkan terutamanya dalam majlis-majlis tertentu dan keadaan ini menjadi semakin ketara terutamanya dalam majlis-majlis tertentu, dan keadaan ini menjadi semakin ketara terutamanya akhir 70an hingga 80an ketika arus kebangkitan Islam melanda bumi Malaysia. Fenomena ini merebak dengan cepatnya dalam majlis-majlis terutama dalam perjumpaan-perjumpaan yang berbau keislaman, seolah-olah satu kesedaran atau kepercayaan baru muncul bahawa budaya ini sebenarnya tidak sesuai dengan roh keislaman yang ada dalam majlis-majlis tertentu. Orang-orang yang mempelopori kebangkitan Islam di Malaysia umpamanya mula menggantikan budaya ini dengan laungan Allahuakbar dan akhirnya laungan Allahuakbar mula mengambil tempat budaya tepuk tangan. Namun begitu laungan Allahuakbar ini juga dianggap sepi dan mula ditinggalkan oleh kebanyakan orang tidak kira samada mereka pendokong gerakan Islam atau tidak. Dan kesudahannya suatu suasana baru yang wujud ialah kejumudan, kesepian dan kekakuan dalam suasana atau majlis-majlis tersebut, tidak ada lagi tepuk tangan dan tidak ada lagi  laungan Allahuakbar.  Apa yang jelas umum rata-ratanya tidak mengetahui bagaimana sebenarnya fenomena ini terjadi, kenapakah budaya ini tiba-tiba sahaja ditinggalkan. Apakah asas yang dijadikan sandaran untuk meneruskan budaya ini? Benarkah ia suatu amalan yang bertentangan dengan Islam?

Artikel ini akan cuba menyentuh beberapa aspek hukum dalam budaya tepuk tangan untuk melihat sejauhmana ia boleh dianggap bertentangan dengan Islam atau tidak, setakat manakah budaya ini juga boleh diamalkan juga pengamatan secara ringkas melalui kaji selidik yang dibuat untuk melihat tanggappan masyarakat terhadap budaya ini dan sejauh manakah ia diamalkan dalam masyarakat Malaysia.

Pandangan Fuqaha

Merujuk kepada kitab-kitab Fiqh terdahulu atau semasa tidak ramai dari kalangan fuqaha yang membicarakan soal ini secara terperinci, suatu yang pasti kesemua fuqaha dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak langsung menyentuh perkara ini dalam kitab-kitab mereka.

                Meskipun ada fuqaha dari kalangan Syafiiyah yang membicarakan soal ini dalam kitab-kitab mereka namun ia hanya dibicarakan secara ringkas dalam suatu ruangan yang agak sempit di bawah tajuk hokum bertepuk tangan dan bertasbih dalam sembahyang apabila berlaku kekhilafan di pihak Imam. ( Al syeikh Ibrahim Al baijuri, Hasyiah Al Syeikh Ibrahim Al baijuri ‘Ala Syarh Al ‘Allamah Ibn Qasim Al Ghazzi ‘Ala matn Al Syeikh Abi Syuja’, Dar Al Fikr,Jil.1,h.181)

Kebanyakan tulisan selain dari tulisan fuqaha berkenaan hanya menyentuh persoalan bertepuk tangan didalam sembahyang. Begitu juga kitab-kitab tafsir dan hadis tidak membicarakan soal ini malah kitab-kitab tentang adab juga tidak menyentuhnya dalam perbincanagan mereka.

Secara umumnya berdasarkan pandangan beberapa kalangan fuqaha Syafii berkenaan persoalan bertepuk tangan di luar dari perlakuan sembahyang boleh disenaraikan di bawah dua keadaan:

  1. Betepuk tangan tanpa apa-apa keperluan
  2. Bertepuk tangan ketika ada keperluan

Bertepuk Tangan Tanpa Apa-apa keperluan

                Terdapat tiga kecenderungan dalam memberikan hukum bertepuk tangan ketika keadaan tidak memerlukan.

Al Ramli(ibid), menyatakan haram bertepuk tangan dengan tujuan untuk mempermain-mainkan dan pandangan yang muktamad mengikut Al Ramli ialah makruh bertepuk tangan meskipun tanpa tujuan untuk mempermain-mainkan atau apa-apa keperluan.

Imam Ibn Hajar pula dalam kitabnya Syarh Al Irsyad (ibid) menyatakan makruh hukumnya betepuk tangan walaupun dengan tujuan untuk mempermain-mainkan.

Dalam satu pandangan lain, Al Ramli (ibid) menyatakan bertepuk tangan dengan tujuan untuk menyamai sifat wanita (kerana bertepuk tangan adalah khusus bagi kaum wanita di dalam sembahyang ketika menegur kekhilafan imam) adalah haram, dan makruh jika tidak dengan tujuan tersebut.

Sebagai kesimpulannya dapatlah dinyatakan bahawa dalam hal-hal yang tidak memerlukan seperti main-main atau sebagainya amalan bertepuk tangan ini hukumnya makruh.

Bertepuk Tangan Ketika Ada Keperluan

                Semua fuqaha bersependapat (ibid) bahawa dalam keadaan-keadaan yang memerlukan (hajat seperti untuk memberikan penghormatan, perangsang dan sebagainya ia tidak menjadi suatu yang dilarang atau haram bahkan dtuntut untuk melakukannya.

Analisis

                Dalam pandangan yang dkemukan di atas meskipun dalam keadaan dan suasana yang tidak diperlukan, bertepuk tangan hukumnya makruh. Dalam kaedah usul, makruh bererti, melakukannya tidak dianggap berdosa,hanya mengurangkan ganjaran Allah SWT dan meninggalkannya akan diberikan ganjaran, dan suatu yang perlu diingat bahawa perletakan hukum makruh hanya dalam keadaan yang tidak menuntut budaya itu dilakukan. (keadaan-keadaan yang tidak diperlukan bolehlah dikategorikan sebagai mempermain-mainkan atau menghina atau mengejek dan mempersenda). Namun dalam keadaan dan suasana yang diperlukan ia boleh diamalkan malah digalakkan.

                Suatu pekara yang perlu juga diberikan perhatian ialah persoalan keperluan atau hajat dalam keadaan bagaimanakah ia dianggap berhajat kepada tepuk tangan?  Melihat kepada aspek hajat ini ia tidak sahaja merujuk kepada perbuatan bertepuk tangan untuk memberikan penghormatan atau perangsang, tetapi hajat di sini juga melihat kepada struktur majlis atau suasana majlis. Seandainya majlis-majlis yang tidak baik (yang mempunyai unsur-unsur negatif dan menyalahi adab Islam), persoalan kehadirannya sudah dipertikaikan apatah lagi menjadi penyumbang kegembiraan kepada usasana yang tidak sihat tersebut. Jadi, dalam hal ini keperluan untuk bertepuk tangan harus juga mengambil kira suasana atau struktur majlis yang dihadiri, samada ia diharuskan atau sebaliknya.

Kesimpulan

                Bertepuk tangan bukanlah suatu kesalahan disisi Islam malah ia merupakan suatu keperluan yang amat digalakkan untuk menimbulkan suasana yang memberangsangkan dalam suatu majlis, tidak kira samada majlis itu rasmi atau tidak, majlis yang berunsurkan keagamaan atau tidak, asalkan ia bukanlah majlis yang ditegah untuk menghadirinya.

                Anggapan bahawa amalan bertepuk tangan menyalahi adab dan syariat Islam adalah salah dan tidak sabit mana-mana nas, malah tidak ada nas yang menyatakan amalan ini adalah perbuatan syaitan.

Laporan Penyelidikan

                Bahagian terakhir artikel ini akan membawwa kajian penulis tentang amalan tepuk tangan dalam masyarakat untuk melihat sejauhmana tanggapan masyarakat berhubung amalan ini.

                Sejumlah 250 borang soal selidik teah diedarkan dan hanya 200 borang yang telah dikembalikan iaitu 80%. Borang-borang yang telah diedarkan ialah 50 di Kedah, 50 di Kelantan dan 150 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sehubungan dengan itu sebarang angka dalam kajian ini adalah merujuk kepada jumlah dan peratusan ini. Para responden pula mewakili semua lapisan masyarakat samada pelajar atau mereka yang sudah bekerja.

Amalan Bertepuk Tangan Dalam Masyarakat Islam di Malaysia

                Data yang diperolehi menunujukkan sebanyak 86.5% iaitu 173 orang dari responden tidak mengamalkan tepuk tangan dalam majlis-majlis yang dhadiri kerana menganggap amalan ini menyalahi adab Islam atau ia suatu perbuatan yang tidak Islamik. Malah 10% iaitu 20 orang dari mereka menganggap ia sebagai amalan syaitan,dan selebihnya iaitu 3.5% menyatakan ia tidak sesuai dengan suasana. Peratusan dan jumlah ini dibuat dengan mengambil kira suasana majlis yang dihadiri oleh para responden iaitu majlis-majlis yang bercorak keagamaan seperti ceramah agama, Majlis Kesenian dan Kebudayaan juga Majlis Tilawah Al Quran.

                Manakala dalam majlis yang bukan berbentuk keagamaan seperti upacara perasmian, sukan , ceramah-ceramah umum,bengkel dan lain-lain sebanyak 65% iaitu 130 orang tidak mengamalkan amalan ini kerana anggapan bahawa perbuatan ini tidak Islamik, 22.5% atau 45 orang dari responden bertepuk tangan kerana menganggap ia sesuai dengan suasana majlis yang dihadiri dan selebihnya iaitu 12.5% atau 25 orang bertepuk tangan kerana ikut-ikutan (kerana orang lain semuanya bertepuk tangan).

                Menepati hipotesis awal yang dibuat penulis, kajian menunjukkan kebanyakan responden tidak mengetahui hukum bertepuk tangan yang sebenar, secara turun temurun pengetahuan yang diperolehi diwarisi,sehinggalah ia menjadi anggapan umum bahawa amalan ini tidak boleh dilakukan. Sebahagian besar dari mereka rata-rata menganggap amalan ini bertentangan dengan Islam dan tidak wajar diamalkan dan mesti digantikan dengan laungan Allahuakbar yang menurut mereka lebih Islamik.

                Meskipun terdapat dikalangan mereka yang bertepuk tangan tetapi bukan atas pengetahuan bahawa amalan itu boleh dilakukan, hanya kerana melihat kepada suasana majlis yang dihadiri,dan ini jelas menunjukkan mereka melakukan amalan tersebut kerana ikut-ikutan.

                Dari jawapan-jawapan yang diberikan juga jelas menunjukkan bahawa anggapan mereka dibuat tanpa merujuk kepada nas-nas yang sahih dan dalam masa yang sama tidak ada suatu kenyataan bertulis dari para alim ulama masakini yang menolak tanggapan umum mengenai amalan ini. Suatu hakikat yang tidak dinafikan ialah kejahilan dalam beberapa aspek hukum Islam menjadikan anggapan ini seolah-olah suatu yang benar.

                Masyarakat sewajarnya mempunyai mempunyai pengetahuan yang jelas dan tepat mengenai perkara ini dan beberapa aspek hukum yang lain, yang kadang-kadang difahami secara tradisi tanpa bukti atau nas yang nyata.

                Melihat persepsi ini dapatlah disimpulkan bahawa meskipun masyarakat berupaya memperolehi maklumat tentang sesuatu hukum dengan mudah dan berkesan tetapi maklumat tersebut semestinya diteliti dan dikaji terlebih dahulu kesahihannya supaya mereka tidak terpesong dalam mengamalkannya.

 

 








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.