PANDANGAN MAZHAB FIQH DALAM KES BATAL WUDUK APABILA BERSENTUH ANTARA LELAKI DAN WANITA BUKAN MAHRAM SEMASA TAWAF: SATU ANALISIS

16 08 2015

Prof Madya Dr Anisah Ab. Ghani
Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya.

ABSTRACT
The study discusses views of scholars of the four main Islamic
jurisprudence schools, their juristic reasoning and each school’s
preferred (rajih) view on the nullity of ablution as a result of skin-toskin
contact between ajnabi (lawfully eligible for marriage) male and
female. The study shows that the preferred view of Maliki and Hanbali
Schools and the minority view within Shafie School is the most juristically
sound. The view holds that skin-to-skin contact between ajnabi male and
female with no inducement of sexual passion (syahwat) does not result
in nullification of an ablution. In addition, the study suggests that this
juristic view should carry more practical relevancy for Shafie School
adherents in the context of pilgrimage (hajj), particularly in performing
tawaf.

Kata kunci: Fiqh al-`Ibadah, Mazhab Fiqh, Abblution Nullified/broken of
abblution, Tawaf

Keywords: reforms, Islamic family law, patriarchy traditions,
marriage, divorce.

MUKADIMAH
Dalam tempoh yang sudah agak lama isu batal wuduk apabila berlaku persentuhan
kulit tanpa alas silang jantina ajnabi masih menjadi pertikaian. Ia disebabkan
oleh rasa kurang selesa penganut Mazhab Syafi`i untuk mengamalkan pendapat
mazhab lain. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku kerana syariat Islam telah
menerima ijtihad yang secara logik akan menatijahkan perbezaan pendapat
dalam satu kes dan seterusnya telah mewujudkan pelbagai mazhab. Namun
demikian, pada akhirnya perbezaan pendapat mazhab ini memungkinkan umat
Islam memilih dan mengamalkan mana-mana pendapat berdasarkan ‘hujah
yang paling kuat atau pendapat yang paling mampu menyelesaikan masalah’,
kerana terikat dengan satu mazhab dalam semua keadaan bercanggah dengan
maslahat manusia, sedangkan hukum-hukum Islam disyariatkan bagi tujuan
memelihara maslahat manusia (الدِين مَصلَحة) . Maslahat manusia hanya akan
terjamin apabila sesuatu hukum dapat menolak mudarat dan menjana maslahat
(دَفعُ المضرة وجَلب المَصالح) .
Selain itu, Islam juga telah mensyariatkan azimah dan rukhsah dalam
melaksanakan hukum Allah. Rukhsah adalah keringanan yang diberikan dalam
keadaan darurah, masyaqqah atau hajah. Azimah pula ialah satu kemestian
melaksanakan hukum dalam apa keadaan sekalipun.[1] Pelaksanaan Islam
yang sempurna mestilah mengambil azimah dan rukhsah pada waktunya.
Melaksanakan azimah atau rukhsah dalam semua keadaan bukan menunjukkan
pelaksanaan Islam yang sempurna. Ya`la bin Umayyah menyatakan;
Rukhsah itu sedekah Allah, umat Islam diminta menerima sedekah
Allah. Yakni mengamalkan rukhsah pada tempatnya.[2]
Penulisan ini akan menghuraikan isu ini dan berusaha membuat tarjih
setelah membuat pertimbangan ke atas hujah semua pendapat. Tarjih dibuat
berdasarkan kekuatan hujah dan pertimbangan maslahah dan keperluan,
terutama bagi mereka yang mengerjakan tawaf, haji atau umrah.

PENDAPAT ULAMA’
Para ulama’ pelbagai mazhab sebenarnya tidak sependapat dalam menyatakan
hukum batal wuduk apabila lelaki dan wanita ajnabi bersentuhan kulit tanpa
alas. Perbezaan pandangan ini berpunca daripada perbezaan cara istinbat
mereka terhadap nas-nas berkaitan isu ini. Nas-nas berkaitan ialah:
1. Firman Allah:
أو لمستُم النساء
“Atau kamu bersentuh dengan perempuan”
Surah al-Nisa’ (4):43

2. Hadis riwayat Mu`adh bin Jabal:

أتى النبِي (ص) رجُل فقال : يا رسول الله مَا تقولُ في رجل
لقِى امرأةً يَعرفُها فليس يأتى رجل مِن امرأتِه شيئا إلا قد أتاه منها غير
أنه لم يجامعها قال : فأنزل الله هذِه الآية : وأقِمِ الصلاة طَرَفَى
النهار…..الآية، فقال له النبي (ص) : توضأ ثم صل.

“Seorang lelaki datang menemui Nabi s.a.w lalu berkata:
Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu tentang seorang
lelaki berjumpa dengan wanita yang dikenalinya, dia telah
melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan lelaki terhadap
wanita kecuali menyetubuhinya. Allah pun menurunkan ayat:
‘Dirikanlah solat itu pada kedua-dua tepi siang (pagi dan
petang)…’ Rasulullah bersabda: Hendaklah kamu berwudhuk
dan solatlah.”
[3]

3. Hadis riwayat `Aisyah:

إن كان رسول الله (ص) ليصلى وإنى لَمُعترضَة بين يديه اعترض
الجنازة حتى إذا أراد أن يوتر مسنى برجله.

“Ketika Rasulullah s.a.w hendak bersolat, aku terbaring
dihadapannya seperti berbaringnya jenazah sehingga apabila
Baginda solat witir kaki Baginda bersentuhan dengan aku.”
[4]

4. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim membawa maksud yang sama
dengan lafaz berlainan:

فإذا سجَد غمزَنى فقَبضت رجلى فإذا بسَطتهما
“Apabila Rasulullah sujud, dia menolak dan aku menarik
kakiku, apabila Baginda bangun semula aku melunjurkan
kedua-dua kakiku.”
[5]

5. Hadis riwayat Abu Dawud dan Nasa’i:

أن النبى (ص) كان يَقبَل بعض أزواجِه ثم يصلى ولا يَتوضأ

“Sesungguhnya Nabi s.a.w mengucup sesetengah isterinya
kemudian solat tanpa berwudhuk.”
[6]

Pendapat Pertama
Mazhab Malik, pandangan Imam Ahmad yang masyhur dan salah satu
pandangan Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa bersentuh kulit antara
lelaki dan wanita tanpa alas adalah membatalkan wuduk sekiranya disertai
dengan syahwat. Tidak batal jika tidak disertai syahwat.[7]
Jalan hujah pandangan pertama ini ialah:
1. Perkataan لامس yang terdapat dalam firman Allah أو لامستم النساء
bermaksud mubasyarah tanpa jimak. Sekalipun dalam ayat ini tidak
dinyatakan sentuhan bernafsu atau tidak, namun ia telah dinyatakan
dalam hadis riwayat Mu`adh di atas.
2. Hadis riwayat `Aisyah, Bukhari dan Muslim yang menceritakan `Aisyah
berbaring melintangi Rasulullah yang sedang solat menunjukkan
bahawa sentuhan tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk.
3. Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Nasa’i yang menyatakan Rasulullah
mengucup sesetengah isterinya dan terus melakukan solat tanpa
mengambil wuduk sekali lagi menunjukkan sentuhan tanpa alas dan
tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk.

Pendapat Kedua
Mazhab Syafi`i dan salah satu pandangan mazhab Imam Ahmad menyatakan
persentuhan antara lelaki dan wanita tanpa alas membatalkan wuduk secara
mutlak sekiranya kedua pihak telah baligh dan pasangan ajnabi. Maksud
mutlak ialah sentuhan dengan syahwat atau tidak.[8]
Jalan hujah pandangan kedua ini ialah:
1. Nas al-Quran berkaitan isu ini أو لامستم النساء tidak membezakan
antara syahwat dan bukan syahwat, sengaja atau tersalah, mahram atau
kanak-kanak, kecuali hadis riwayat Abu Qatadah yang menyatakan
Baginda mendukung Umamah semasa solat. Hadis ini menunjukkan
tidak batal wuduk dengan menyentuh kanak-kanak dan mahram.
2. Bagi pendapat kedua ini, hadis Mu`adh yang menyatakan Rasulullah
s.a.w. mengarahkan lelaki terbabit mengambil wuduk, telah tidak
meminta penjelasan daripada lelaki tersebut apakah sentuhan itu
dengan syahwat atau tidak. Ini menunjukkan sentuhan mutlak, dengan
syahwat atau tidak adalah membatalkan wuduk.
3. Pendapat kedua ini juga berpendapat hadis-hadis yang menunjukkan
Baginda mengucup sesetengah isterinya kemudian solat dengan tanpa
wuduk adalah hadis da`if dan mursal.
4. Bagi pendapat kedua ini juga, hadis yang menyatakan `Aisyah
melintangi Rasulullah yang sedang solat dan Baginda menyentuh
kakinya diandaikan sentuhan secara beralas atau ianya khusus bagi
Rasulullah s.a.w. sahaja.[9]

Inilah pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafi`i. Namun demikian,
mengikut apa yang diriwayatkan Imam al-Rafi`i daripada al-Hannati bahawa
Ibn Surayj berpendapat sentuhan yang membatalkan wuduk ialah sentuhan
yang disertai syahwat, al-Hannati mengatakan bahawa ungkapan ini adalah
dari Imam Syafi`i sendiri. Bahkan terdapat pandangan sebahagian ulama’
Syafi`i seperti al-Fawrani dan Imam al-Haramayn yang menyatakan bahawa
wuduk hanya akan terbatal akibat persentuhan yang dilakukan dengan niat
dan qasad. Penulis al-Majmu` membuat komentar bahawa pandangan di atas
adalah syadh dan da`if.[10]

Pendapat Ketiga
Mazhab al-Zahiri berpendapat bahawa wuduk akan terbatal akibat persentuhan
yang sengaja secara mutlak, dengan syahwat atau tidak, berlaku antara
pasangan ajnabi atau mahram.[11]
Hujah pendapat ketiga ini ialah ayat yang sama. Jalan hujahnya ialah:
bahawa persentuhan الملامسة adalah perbuatan yang sengaja dilakukan oleh dua
pihak lelaki dan perempuan secara mutlak, dengan syahwat atau tidak.
Bagi pendapat ini, perbuatan sengaja menyentuh diambil kira sebagai
asas batal wuduk kerana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 5 وليس عليكم
جُناح فيما أخطأتم به ولكن ما تعَمدت قلوبكم. Ayat ini umum menunjukkan bahawa
apa sahaja yang dilakukan dengan sengaja adalah diambil kira, termasuklah
sentuhan sengaja lelaki dan perempuan dalam kes wuduk.

Pandangan Keempat
Imam Muhammad bin Hasan al-Syaybani dan satu pandangan lain daripada
Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat bahawa persentuhan lelaki dan
perempuan secara mutlak antara lelaki dan perempuan tidak membatalkan
wuduk. Wuduk hanya batal dengan melakukan jimak.

Pendapat ini didasarkan:
1. Bahawa perkataan لامس dalam ayat berkaitan isu ini menunjukkan
jimak, seperti yang ditafsirkan Ibn `Abbas.[12] Semua hadis-hadis
berkaitan isu ini; kucup, tolak dengan kaki dan sentuh tapak kaki
dengan tangan semuanya menunjukkan berlaku persentuhan. Sekiranya
perbuatan-perbuatan ini membatalkan wuduk tentulah Rasulullah
tidak meneruskan solat tanpa berwuduk setelah berlaku persentuhan.
Perbuatan melakukan solat tanpa berwuduk semula selepas berlaku
kucup dan meneruskan solat selepas berlaku sentuhan adalah bukti
bahawa sentuhan tanpa jimak tidak membatalkan wuduk. Sekaligus
perbuatan-perbuatan ini menjadi qarinah yang memindahkan
pengertian hakiki perkataan kepada jimak. Ini dikuatkan lagi
oleh penafsiran Ibn `Abbas ke atas ayat ini yang mengatakan
dalam ayat ini bermaksud jimak.

Rumusan pendapat-pendapat ulama’ dalam kes ini ialah:

1. Batal wuduk jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan ajnabi yang
disertai syahwat. Tidak batal dengan persentuhan tanpa syahwat.
2. Batal wuduk jika berlaku persentuhan secara mutlak, dengan syahwat
atau tidak.
3. Batal wuduk dengan sentuhan yang dilakukan dengan sengaja. Tidak
batal jika sentuhan berlaku dengan tidak sengaja.
4. Batal wuduk apabila berlaku persetubuhan sahaja. Sentuhan tanpa
syahwat atau tidak, tanpa jimak tidak membatalkan wuduk.

KESIMPULAN

Kajian ini merumuskan bahawa pendapat yang rajih dan sesuai diamalkan,
terutama oleh mereka yang melakukan tawaf, haji atau umrah ialah pendapat
pertama dan pendapat marjuh Mazhab Syafi`i yang mengatakan batal wuduk
jika berlaku sentuhan dengan syahwat. Tidak batal dengan sentuhan mutlak.
Pendapat ini menjadi pilihan berdasarkan hal-hal berikut:

1. Pendapat Paling Sederhana.

Pendapat pertama ini merupakan pendapat paling sederhana di antara keempat-empat
pendapat yang telah dikemukakan. Ia tidak terlalu sukar seperti
pendapat kedua dan tidak terlalu mudah seperti pendapat keempat. Inilah
pendapat yang dinukil al-Syawkani, penulis kitab al-Muntaqa. Bagi penulis
al-Muntaqa, pendapat ini dapat menghimpun dan mengamalkan semua hadis-hadis
berkaitan isu ini.

2. Dalam Mazhab Syafi`i pun Ada Yang Berpendapat Demikian.

Selain daripada alasan di atas, dalam Mazhab Syafi`i sendiripun ada pendapat
yang mengatakan tidak batal wuduk dengan persentuhan mutlak. Wuduk
hanya batal jika berlaku persentuhan yang disertai syahwat seperti yang telah
dikemukakan di atas. Walaupun pendapat ini dianggap marjuh dan da`if dalam
Mazhab Syafi`i, ia masih sesuai untuk dipilih kerana pendapat ini lebih menjana
maslahat kepada mereka yang melakukan tawaf dan dapat menghindarkan
masyaqqah daripada mereka.

3. Pendapat Paling Tepat Dengan Maqasid Syariah.

Ungkapan الدِين مَصلَحة yang bermaksud bahawa hukum Allah akan berada
bersama maslahat manusia. Maslahat manusia adalah menjadi maqasid syariah
yang menjadi alasan kenapa hukum-hukum syariat itu ditasyri`kan. Oleh kerana
pendapat pertama ini merupakan pendapat yang paling dekat dengan maqasid
syariah
; iaitu menjana maslahat dan menolak masyaqqah daripada mereka
yang mengerjakan tawaf, maka pendapat ini sepatutnya menjadi pilihan.

4. Terikat Dengan Satu Mazhab Bukan Pendirian Yang Sihat.

Masalah far`iyyah zanniyyah adalah masalah ijtihadiyyah. Ijtihad membenarkan
berlaku berbeza pendapat dalam satu kes. Ikhtilaf ini bukan sesuatu yang negatif,
tetapi positif. Umat Islam bebas memilih mana-mana pendapat ijtihadiyyah
atas alasan ia pendapat paling kuat atau ia pendapat paling membawa maslahat,
sekalipun ia pendapat marjuh, kerana prinsip الدِين مَصلَحة . Menerima pendapat
selain dari Mazhab Syafi`i dan pendapat marjuh dalam isu ini adalah pendirian
yang bersesuaian dengan semangat syariat. Sebaliknya, terikat dengan Mazhab
Syafi`i sahaja adalah pendirian yang tidak sihat kerana ia bertentangan dengan
prinsip maslahah dan tidak menepati tuntutan Fiqh al-Awlawiyat dan Fiqh al-
Muwazanah
.

5. Pendapat Yang Memenuhi Tuntutan Mengamalkan Rukhsah dan
Azimah.

Kesempurnaan pengamalan hukum syarak ialah dengan melaksanakan rukhsah
dan azimah pada tempatnya. Dari satu sudut, berpindah dari pendapat Mazhab
Syafi`i yang rajih dalam isu ini kepada mazhab lain dan pendapat Syafi`iyyah
yang marjuh merupakan rukhsah. Hadis Rasulullah juga menggalakkan umat
Islam mengamalkan rukhsah.
_______________________________________________________________________________
[1] `Abd al-Karim Zaydan (1993), Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Kaherah: Dar al-Tawzi`
wa al-Nasyr al-Islamiyah, hh. 49-50.
[2] Muslim (t.t.), Sahih Muslim, Kitab Salat al-Musafirin wa Qasruha, no. hadis
1573.
[3] Al-Dar Qutni `Ali bin `Umar (1993), Sunan al-Dar Qutni. Beirut: Dar Ihya’ al-
Turth al-`Arabi, j. 1, h. 134.
[4] Al-Nasa’i, Abu `Abd al-Rahman bin Syu`ayb (1964), Sunan al-Nasa’i. Kaherah:
Maktabah Mustafa al-Babi al-Halabi, j. 1, hh. 85-86.
[5] Al-Bukhari (t.t.), Sahih al-Bukhari, Bab Ma Yajuzu min al-`Amal, no. hadis 513.
[6] Al-Nasa’i (1964), op.cit, hh. 85-86.
[7] Wahbah al-Zuhayli (1985), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Damsyik: Dar al-Fikr,
j. 1, hh. 274-277. Lihat juga al-Kasani, `Ala al-Din Abi Bakr bin Mas`ud (1997),
Bada`i al-Sana`i fi Tartib al-Syara`i. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyah, j. 1, hh.
244-247.
[8] Al-Zuhayli (1985), op.cit. Lihat juga Abu Ishaq al-Syirazi (1992), Al-Muhadhdhab.
Damsyik: Dar al-Qalam, j.1, h. 98.
[9] Ibid.
[10] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahyu al-Din bin Syaraf (1995), Kitab al-Majmu`
Syarah al-Muhadhdhab. Kaherah: Dar al-Ihya’ al-Turth Al-`Arabi, j. 2, h. 29.
[11] Ibn Hazm (t.t.), al-Muhalla. Kaherah: Maktabah Dar al-Turth, j. 1, hh. 244-249.
[12] Al-Qurtubi, Abu `Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari (1967), al-Jami`i
li-Ahkam al-Qur’an. Beirut: Dar al-Kitab al-Lubnaniyah, j. 5, h. 225.

RUJUKAN
`Abd al-Karim Zaydan (1965), Al-Madkhal li-Dirasat al-Syariah al-Islamiyah.
Baghdad: Matba`ah al-`Ayn.
`Abd al-Karim Zaydan (1993), Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. Kaherah: Dar al-
Tawzi` wa al-Nasyr al-Islamiyah.
`Umar Sulayman al-Asyqar (1996), al-Madkhal ila Dirasat al-Madaris wa al-
Madhahib al-Fiqhiyah. Jordan: Dar al-Nafa’is.
Abu Ishaq al-Syirazi (1992), Al-Muhadhdhab. Damsyik: Dar al-Qalam.
Al-Bukhari (t.t.), Sahih al-Bukhari. Kaherah: Dar al-Hadith.
Al-Dar Qutni `Ali bin `Umar (1993), Sunan al-Dar Qutni. Beirut: Dar Ihya’
al-Turth al-`Arabi.
Al-Kasani, `Ala al-Din Abi Bakr bin Mas`ud (1997), Bada`i al-Sana`i fi Tartib
al-Syara`i. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyah.
Al-Nasa’i, Abu `Abd al-Rahman bin Syu`ayb (1964), Sunan al-Nasa’i.
Kaherah: Maktabah Mustafa al-Babi al-Halabi.
Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahyu al-Din bin Syaraf (1995), Kitab al-Majmu`
Syarah al-Muhadhdhab. Kaherah: Dar al-Ihya’ al-Turth Al-`Arabi.
Al-Qaradawi (2004), al-Sahwah al-Islamiyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru` wa
al-Tafarruq al-Mazmum (terj). Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Al-Qurtubi, Abu `Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari (1967), al-
Jami`i li-Ahkam al-Qur’an. Beirut: Dar al-Kitab al-Lubnaniyah.
Ibn Hazm (t.t.), al-Muhalla. Kaherah: Maktabah Dar al-Turth.
Muslim (t.t.), Sahih Muslim. Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi.
Wahbah al-Zuhayli (1985), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. Damsyik: Dar
al-Fikr.
Wahbah al-Zuhayli (2001), Usul al-Fiqh al-Islami. Beirut: Dar al-Fikr al-
Mu`asir.

Nota: Manuskrip ini telah diterbitkan di Jurnal Syariah, Jil. 16, Bil. 2 (2008) 89-98 (‘Shariah Journal, Vol. 16, No. 2 (2008) 89-98’)


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: